Khamis, 29 Jun 2017

Mahathir senaraikan cara Najib memenangi PRU14?

 
ULASAN l Apa yang akan Najib lakukan atau mungkin lakukan untuk menang Pilihanraya ke-14 (PRU14) boleh memuat senaskhah buku.

Saya hanya senaraikan beberapa tindakan yang telah dia lakukan sebelum dan selepas Pilihanraya Umum ke-13 dan apa yang dilakukan semasa pilihanraya kecil dan juga lain-lain yang dilakukan untuk menyekat bangkangan terhadapnya.

Negara masih ingat demonstrasi BERSIH 5. Dia menyatakan yang dia tidak akan sekat. Tetapi kita semua tahu apa yang dia bermati-mati lakukan untuk menghalang demonstrasi itu daripada diteruskan sama sekali atau untuk mengurangkan skalanya.

Kesemua tempat yang dicadangkan oleh BERSIH tidak diluluskan pihak polis.
Beberapa jalan juga di klasifikasikan sebagai tidak sesuai.

Demonstrasi tidak boleh ada apa-apa unsur keganasan. Tidak boleh ada apa-apa sampah dibuang oleh para peserta demonstrasi. Baju kuning menjadi pakaian jenayah.

Demo paling tertib

BERSIH telah patuhi hampir kesemua sekatan ini. Tidak seperti demonstrasi jalanan di negara-negara lain, pesertanya tidak memenuhi jalan-jalan tetapi hanya di kaki lima.

Mereka mematuhi semua arahan polis. Malahan ada pasukan untuk mengutip sampah. Peserta juga elak daripada membuang sampah di jalan.

Tidak ada keganasan, walaupun apabila bertembung dengan penyokong Kerajaan berbaju merah.

Dunia tidak pernah menyaksi demonstrasi yang begitu tertib dan aman. Tidak ada gas pemedih mata, tiada pembakaran tayar, tiada kenderaan yang diterbalikkan.

Walaupun penganjur telah memberikan ketetapan untuk patuhi kesemua syarat-syarat, beberapa hari sebelum demonstrasi, Maria Chin Abdullah, pemimpin utama bersama sembilan lagi pemimpin yang lain ditangkap.

Maria dihumban ke dalam bilik yang sejuk dan gelap. Ini merupakan satu penyeksaan. Demonstrasi tetap berjalan tanpa ramai daripada pemimpin mereka.

Beberapa hari selepas demonstrasi berakhir barulah Maria dan yang lain-lain dibebaskan. Ia juga kerana ramai yang melakukan protes secara senyap di Dataran Merdeka setiap malam.

Inilah salah satu cara Najib untuk menakutkan pembangkang.

Dari episod ini kita dapat jangkakan yang Najib akan bertindak untuk menghancurkan pembangkang dan menakutkan rakyat semasa Pilihanraya Umum ke-14.

Terdapat beberapa tanda-tanda atau usaha untuk membina kes bagi menangkap dan menahan pemimpin pembangkang. Penahanan pemimpin pembangkang akan mengucar-kacirkan parti.

Memang tindakan akan sebabkan rakyat marah tetapi ramai yang akan rasa takut untuk undi pembangkang.

Mereka percaya yang Najib akan dapat tahu dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tanpa pemimpin mereka tidak akan tahu apa yang harus dilakukan.

Duit mengalir tanpa batas

Undi untuk pembangkang akan merosot. Dan semasa ketiadaan pemimpin, Najib boleh rasuah rakyat dan pekerja parti sesungguh hatinya.

Mereka akan lakukan semua perkara yang melanggar undang-undang menurut kehendaknya. Duit akan mengalir tanpa batas.

Pekerja pilihan raya dan juga pegawai mungkin akan menyalah arahkan pengundi, dan undian akan dimanipulasi. Ramai yang tidak akan boleh buang undi sama sekali.

Undi pos akan di “hijack” dan dipindahkan bagi menaikkan jumlah undi di kawasan calon-calon penting BN.

Secara dasar Malaysia bukan lagi sebuah demokrasi. Kita kini di klasifikasikan sebagai sebuah kleptokrasi, sebuah negara yang dipimpin pencuri. Tahap penipuan dalam pilihan raya akan menjadikan ia tidak bererti sama sekali. Ini memalukan.

Ketua Polis Negara mungkin tidak bersetuju tetapi Malaysia telah pun menjadi negara polis atau “Police State”. Tidak ada peraturan undang-undang.

Sama ada arahan itu bertentangan undang-undang negara atau tidak, polis telah menunjukkan yang mereka bersedia menjalankannya.

Mereka akan tahan pemimpin pembangkang walaupun sedar yang mereka ini tidak pun melakukan apa-apa kesalahan.

Mereka akan menganggu-gugat orang, memanggil untuk disoal-siasat dan diancam. Kesemua ini telah dilakukan dan ia dilakukan dengan persetujuan KPN.

Isytiharkan darurat

Semua ini akan berlaku lagi semasa pilihan raya diadakan. Tetapi Najib juga boleh untuk tidak adakan pilihan raya.

Ia di bawah bidang kuasa dia untuk berbuat sedemikian. Undang-undang tidak akan menghalangnya.

Hanya dengan mengisytiharkan darurat, walaupun hakikatnya tidak pun timbul situasi sebegitu dia boleh gantung perlembagaan.

Dan dia akan dapat sokongan tidak belah-bahagi pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Mereka ini semua tahu yang pemimpin mereka ini menyalahguna kuasa.

Mereka sedar akan siasatan dan tuduhan terhadap Najib oleh beberapa badan siasatan negara asing.

Mereka tahu tentang laporan jenayah oleh Department of Justice Amerika Syarikat, penahanan individu dan penutupan bank-bank di Singapura yang terpalit dengan skandal 1MDB.

Mereka tahu tentang kegiatan rasuah berleluasa melibatkan duit curi yang dilakukan Najib bermula sebaik sahaja ianya menjawat jawatan. Dia telah menghancurkan Umno dan negara.

Bangkitlah rakyat!

Said Keruak, Annuar Musa, Zahid Hamidi, Hishamuddin, Mustapa Mohamad, pemimpin-pemimpin MCA dan MIC dan kesemua Menteri Kabinet sedikit pun tidak ambil kisah.

Mereka tidak kisah apa yang akan jadi kepada negara ini, kepada rakyat dan kepada reputasi Kerajaan yang baik yang telah dibina pemimpin-pemimpin terdahulu.

Apa yang mereka kisah hanyalah kedudukan mereka, kemudahan yang mereka dapat serta kemungkinan besar dedak yang diperolehi.

Biarlah negara ini hancur. Biarkan ianya dipanggil kleptokrasi. Biarkan ianya tersenarai sebagai diantara 10 negara paling korup di dunia. Mereka tidak kisah. Tidak mungkin mereka tidak tahu. Tetapi mereka tidak kisah.

Rakyat boleh menderita. Itu bukan masalah Bapak-bapak Menteri. Dipimpin pencuri tidak mengapa.
Asalkan mereka sendiri dapat meraih untung untuk diri mereka sendiri tidak mengapa, apa yang nak dikisahkan tentang perkara lain.

Saya sedar yang pemimpin-pemimpin pembangkang sedang dijerut. Tetapi saya merayu kepada semua rakyat Malaysia; Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut Bajau dan lain-lain tolaklah Najib di Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun pemimpin pembangkang dimasuk di dalam penjara.

Rakyat Malaysia!

Ini adalah negara negara kita. Kita dilahirkan di sini. Kita dibesarkan di sini. Kita telah merasai kehidupan yang baik di sini, mendapat pendapatan yang halal dari pekerjaan yang dilakukan dan perkhidmatan yang diberikan.

Selamatkanlah negara ini daripada dihancurkan dan diranapkan sama sekali oleh Najib dan ketamakan kleptokrat-kelptokratnya.


TUN DR MAHATHIR MOHAMAD pengerusi Parti Pribumi Bumiputera Bersatu (BERSATU) dan bekas perdana menteri keempat.

Tiada ulasan: