Ahad, 11 Jun 2017

Ku Nan selar golongan muda mudah ikut DAP


Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor 
 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar generasi muda yang dengan mudah diperalat DAP hanya semata-mata ditawarkan jawatan dan calon wakil rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, perkara itu dilihat berlaku apabila seorang gadis Dyana Sofya dicalonkan DAP selepas menyertai parti itu untuk bertanding dalam PRK Parlimen Teluk Intan .

Menurutnya, golongan muda terutamanya Melayu mudah dipermainkan dengan nafsu hingga diperalat oleh parti rasis yang menghuru-harakan itu.

“DAP ini parti yang membenci kepada Islam. Kalau mereka ini berkuasa saya percaya mereka akan haramkan suara-suara azan di masjid-masjid atau memperlahankan suara azan ini.

“Kita kena bersyukur, walaupun wakil rakyat di ibu kota ini kebanyakannya adalah daripada pembangkang tetapi kerajaan pusatnya masih lagi Barisan Nasional yang boleh mengawal.

“Saya mintak tolong kepada semua, belajar geopolitik apa yang sedang berlaku di dunia pada hari ini. Apa yang sedang berlaku di Marawi ,” katanya ketika berucap pada Majlis sumbangan Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan malam ini.

Menurut Tengku Adnan masyarakat perlu mengimbau kembali jasa yang dicurahkan UMNO dan Barisan Nasional dalam membangunkan negara ini.

Katanya, apa yang dilakukan parti keramat Melayu itu wajar untuk dikenang berbanding pembangkang yang sebenarnya tidak melakukan apa-apa sebaliknya hanya tahu menghambur kata-kata dan semangat kebencian.

Dalam ucapannya, Tengku Adnan turut membidas tindakan bekas pemimpin UMNO yang tidak henti-henti mengecam kerajaan dengan pelbagai tuduhan.

“Sudah-sudahlah, dah 22 tahun memimpin apa lagi yang dibongkarkan. Macam-macam yang dia lakukan semasa jadi pemimpin kita tak ungkit pun.

“Ini bila anak tak dapat jadi pemimpin, marah. Korek sana korek sini akhirnya apa akan berlaku,” ujarnya yang dipercayai merujuk kepada bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tengku Adnan turut menasihatkan supaya golongan muda tidak mudah terikut-ikut dengan budaya pembangkang yang menyesat lagi merosakkan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: