Ahad, 11 Jun 2017

Kit Siang cabar Najib respons isu bayar RM9.5 juta sebelum Aidilfitri

 
Kit Siang mahu Najib menangani isu bayaran kepada Shafee diselesaikan sebelum akhir Ramadan seiring semangat menyelesaikan isu FGV.


kit-siang


PETALING JAYA: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini mencabar Datuk Seri Najib Razak menggunakan ‘semangat FGV’ untuk merungkai pelbagai persoalan berkaitan dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum Aidilfitri.

“Adakah Najib akan menyelesaikan krisis terbaharu integriti awam dan tadbir urus baik mengenai bayaran RM9.5 juta daripada akaun perbankan peribadi beliau di Ambank kepada Shafee?”

Merujuk kepada kenyataan Najib, yang juga Presiden Umno dan Menteri Kewangan, semalam yang mahu isu menyelubungi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) diselesaikan sebelum akhir Ramadan,
beliau berkata, perdana menteri seharusnya mengakhiri pendirian membisu dalam isu dakwaan bayaran kepada Shafee, yang bertindak sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum Aidilfitri.

“Permintaan saya adalah agar Najib akan keluar dari membisu ekoran 2 perkembangan (semalam),” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Dua perkembangan menurut beliau adalah kenyataan Najib mengenai FGV di Johor semalam dan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Najib menggariskan 3 prinsip utama untuk menyelesaikan kemelut FGV dan mahu isu itu diselesaikan dalam bulan Ramadan ini.

Pertama, ia mesti mematuhi undang-undang syarikat manakala yang kedua, harus selaras dengan urus tadbir baik. Najib juga mahu proses siasatan melalui proses yang adil.

Nancy mengulangi kenyataannya 2 tahun lepas yang peguam khas dilantik dalam pendakwaan terhadap Anwar cuma dibayar RM1,000 berdasarkan maklumat yang dibekalkan Pejabat Peguam Negara.

“Sejauh yang saya ingat, apa-apa respon yang diberikan kepada saya untuk dijawab di Parlimen, itu adalah yang rasmi,” katanya.

“Selain daripada itu, saya tak tahu. Saya tak dapat mengesahkan atau menafikan dakwaan itu,” kata beliau mengulas dakwaan portal Sarawak Report yang berkata Shafee yang mengetuai pendakwaan kes liwat terhadap Anwar, menerima sebanyak RM9.5 juta menerusi akaun bank peribadi milik Najib.

Kelmarin, Shafee mengelak daripada menjawab tuduhan itu sambil berjanji akan mengeluarkan kenyataan mengenainya sementara Najib belum memberikan sebarang reaksi.

Dakwaan baharu itu mengundang tindakan undang-undang daripada Anwar, yang memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia.

“Jika Najib mahu melihat krisis FGV diselesaikan sebelum Aidilfitri, mengapa perdana menteri harus pura-pura malu dalam memastikan krisis terkini mengenai integriti awam dan tadbir urus baik di mana dikatakan isu bayaran RM9.5 juta oleh beliau daripada akaun peribadi bank Ambank kepada Shafee, diselesaikan sebelum Aidilfitri supaya tidak mencemari bulan suci Ramadan,” katanya.

Tiada ulasan: