Jumaat, 9 Jun 2017

KETUA POLIS NEGARA TAK HARUS TOLAK TAWARAN TERBUKA SARAWAK REPORT

shahbudindotcom


Dalam reaksinya berkaitan bayaran RM9.5 juta yang dibuat oleh Najib Razak kepada peguam Shafee Abdullah sebagaimana yang didedahkan oleh Sarawak Report, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar menjemput pengendali portal berkenaan, Claire Rewcastle Brown untuk datang ke Malaysia bagi membantu siasatan.

Reaksi Khalid itu secara langsung memberi gambaran bahawa pihak polis mula tergerak hati untuk melakukan siasatan, barangkali bukan saja kerana sudah banyak laporan polis dibuat mengenainya, bahkan sebenarnya itulah juga keinginan majoriti rakyat.

Rakyat hanya ingin melihat kebenaran akhirnya terungkai dan tidak lagi diselindungkan.
Tetapi, untuk Claire datang ke negara ini tentunya agak mustahil kerana ada beberapa waran tangkap terhadapnya atas dakwaan "mengganggu demokasi berparlimen" dan "menyebarkan berita palsu".

Jika beliau setuju datang ke Malaysia untuk membantu siasatan sebagaimana yang diminta oleh Khalid, pastinya sesampai saja di KLIA sudah ada anggota polis yang akan mencekupnya. 

Ia tidak ubah seperti beliau "menyerah lehernya sendiri" kepada pihak polis.

Dengan bersetuju menerima jemputan Khalid itu, belum tentu kehadirannya dapat membantu siasatan, sebaliknya penangkapan dan pendakwaan akan berjalan terlebih dahulu.

Akhirnya, mungkin siasatan tidak akan ke mana-mana.

Lantaran itu, sesiapa pun yang berada di tempat Claire, mereka tidak mungkin akan memenuhi jemputan Khalid itu.

Tetapi Khalid nampaknya telah menunjukkan kepada rakyat keinginan beliau untuk melakukan penyiasatan berhubung dakwaan wang RM9.5 juta yang melibatkan Najib dan Shafee itu.

Dalam itu, jika Khalid kekal dengan keinginan untuk melakukan penyiasatannya, beliau yang sebaliknya kena bersetuju dengan tawaran Claire itu pihak polis Malaysia datang ke UK untuk menemubualnya.

Kata Claire, beliau sedia untuk menjawab apa juga soalan daripada polis Malaysia sekiranya Khalid menghantar anggotanya untuk bertemunya di UK.

Saya juga percaya detektif Bukit Aman tidak sukar mencari jalan untuk berhubung dengan saya sekiranya mereka mahu, katanya lagi.

Selain itu, Claire juga mengatakan maklumat yang didedahkannya selama ini bukanlah rahsia bagi Khalid sebagai salah seorang anggota pasukan petugas khas menyiasat 1MDB kerana "tiada apa yang beliau tidak tahu mengenainya."

Dokumen berkaitan juga pasti ada di atas mejanya dan beliau memiliki salinannya, walaupun keputusannya sebelum ini....menutup siasatan, tambah Claire.

Namun demikian, sekiranya benar Khalid ingin melakukan siasatan dan membuat perbandingan antara dokumen yang dimilikinya dengan apa yang ada dalam pengetahuan Claire, beliau tidak ada pilihan lain selain segera menghantar anggota polis ke UK bertemu dengan pengendali Sarawak Report itu.

Segala-galanya kini di tangan Khalid kerana Claire sudah membuat tawaran terbuka untuk membantu siasatan, tetapi ia mesti dilakukan di UK, bukan di Malaysia.

Khalid tiada alasan untuk menolak tawaran Claire jika beliau masih kekal dengan keinginan yang sama untuk melakukan penyiasatan dan memberitahu kebenaran kepada 31 juta rakyat Malaysia tentang wang RM9.5 juta itu. 

Selebihnya, bank yang terlibat, Najib dan Shafee - semuanya ada di Malaysia.

Sediakah Khalid berbuat demikian?
 
 
 

Tiada ulasan: