Isnin, 5 Jun 2017

Kes denggi di Kedah meningkat 100 peratus

ISMA WEB
 

 
ALOR SETAR – Jumlah kes deman denggi di Kedah mencatatkan peningkatan 100 peratus bagi tempoh Januari sehingga 3 Jun tahun ini iaitu 712 kes berbanding 356 kes yang dicatatkan untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, daerah Kuala Muda merupakan antara sembilan daerah yang mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 283 kes berbanding 135 kes.

Ini diikuti Kulim (180/57), Kubang Pasu (47/16), Sik (31/5), Langkawi (21/10), Padang Terap (16/2), Bandar Bahru (12/9), Baling (74/66) manakala daerah Kota Setar mencatatkan peningkatan satu kes kepada 35 kes, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain peningkatan di sembilan daerah itu, katanya, terdapat dua daerah menunjukan penurunan iaitu daerah Pendang daripada 15 kes kepada lapan kes dan daerah Yan daripada tujuh kes kepada lima kes.

“Kita akan terus memantau wabak ini kerana masih terdapat sembilan lokaliti di Kuala Muda, Padang Terap, Sik, Kubang Pasu dan Kulim yang masih aktif dengan wabak tersebut,” katanya.

Dr Norhizan berkata, antara lokaliti yang aktif ialah di Taman Sri Tanjung, Taman Arked dan Taman Ria Jaya Zon A di daerah Kuala Muda, daerah Padang Terap pula melibatkan Kampung Kubang Daksa dan Kampung Banggol, manakala di Sik iaitu di Kampung Surau dan Kampung Charuk Kit, Kubang Pasu di Kampung Changai dan Kulim di Taman Selasih.

Dalam tempoh tersebut, katanya, sejumlah 171 kes chikugunya dilaporkan di negeri ini yang melibatkan daerah Kuala Muda dengan 96 kes, Baling (72) serta masing-masing satu kes di Kulim, Kubang Pasu dan Sik.

Katanya, setakat ini hanya daerah Kuala Muda masih terdapat satu lokaliti di Taman Ria Zon A masih aktif dengan empat kes di kawasan perumahan itu.

Justeru, katanya, Jabatan Kesihatan negeri terus mempergiatkan usaha pencegahan dan kawalan penyakit terhadap demam denggi dan chikugunya di negeri ini secara berterusan.

Antaranya telah membuat pemeriksaan terhadap 254,689 premis bagi mengesan tempat pembiakan nyamuk aedes di mana 4,950 premis didapati mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

“Kita mengeluarkan sebanyak 2,812 kompaun dengan nilai RM1.4 juta di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan sebanyak 440 notis dikeluarkah menurut Seksyen 8 bagi kerja pembersihan dan pemusnahan tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Sejumlah 267,700 premis telah dibuat semburan untuk membunuh nyamuk dan 50,079 premis telah diletakan ‘abate’ bagi memusnahkan jentik-jentik aedes,” katanya.

Katanya, kerjasama semua pihak termasuk media cetak dan elektronik dan agensi berkaitan adalah perlu bagi mengatasi wabak berbahaya ini tambahan menjelang musim perayaan Aidilfitri lewat bulan ini.  Bernama


Tiada ulasan: