Ahad, 18 Jun 2017

Kerajaan sedia taja 25 pengiat seni tunai umrah

Nizam Zain

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ukuwah Anak Yatim Islam dan Miskin Sabak Bernam pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Seniman, Budayawan, Sasterawan dan Penyiar di Seri Perdana, Putrajaya. foto IQBAL BASRI

PUTRAJAYASeramai 25 penggiat seni dan karyawan yang terpilih bakal menunaikan ibadat umrah yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan selepas musim haji berakhir pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penajaan ibadat umrah itu akan 
mengutamakan penggiat seni dan karyawan yang tidak berkemampuan dan tidak pernah melakukan ziarah ke tanah suci Mekah itu.
“Ia sebagai tanda prihatin serta bukti kerajaan mengambil berat dan nasib golongan seni khussusnya sempena dengan kemuliaan Ramadan ini.
“Insya Allah kita akan menghantar mereka menunaikan umrah selepas selesai musim haji pada tahun ini,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Penggiat Seni dan Karyawan di Seri Perdana di sini petang tadi.
Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; moderator Dialog Penggiat Seni TN50, Datuk Rosyam Nor dan pengarah serta penerbit filem, Datuk Yusof Haslam.
Seramai 2,000 pengiat seni dan karyawan hadir pada majlis berbuka puasa itu serta tetamu khas daripada rumah-rumah kebajikan dan anak yatim sekitar Lembah Klang.
Mengulas lanjut, Najib juga akan meminta pengurusan projek Perumahan Rakyat 1Malasyia (PR1MA) memperuntukan unit-unit rumah mampu milik kepada penggiat seni dan karyawan yang masih tidak mempunyai kediaman sendiri.
“Saya juga bersedia untuk meminta PR1MA iaitu rumah mampu milik untuk diperuntukan kepada penggiat-penggiat seni, budayawan, sasterwan kita.
“Ini juga boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Pada minggu lalu, Najib turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan beberapa unit rumah kepada penggiat seni dan karyawan terutamanya golongan veteran dan tidak memiliki kediaman sendiri.
Ia merupakan keputusan hasil daripada Dialog Pengiat Seni TN50 pada Mei lalu yang melibatkan penggiat seni, karyawan, seniman dan budayawan. – MalaysiaGazette.

Tiada ulasan: