Rabu, 7 Jun 2017

Kemelut FGV: Zakaria disarankan ambil tindakan undang-undang



Shawaliah Hadir

Tempoh penggantungan tidak ditetapkan dan ia melanggar Akta Perhubungan Perusahaan

KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Zakaria Arshad yang diarahkan bercuti kerana enggan melepaskan jawatannya dinasihatkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Menurut Ketua Biro Buruh DAP Kebangsaan A Sivanesan mendakwa penggantungan Zakaria tidak mengikut lunas undang-undang berdasarkan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 kerana syarikat itu gagal menetapkan tempoh.

Jelasnya, Zakaria boleh melanjutkan isu ini kepada JabatanPerhubungan Perusahaan sebelum sesi pendamaian dibuat secara formal sebagai salah satu jalan penyelesaian.

“Kalau Zakaria tidak diberitahu sebab digantung kerja dan tempoh penggantungan itu adalah satu kesalahan majikan.”

“(Mohd) Isa (Abdul) Samad (Pengerusi FGV,) juga menyatakan siasatan akan ambil masa panjang, ini bermakna tidak ada tempoh gantung kerja jadi majikan memang tidak boleh buat sedemikian.

Majikan perlu beri satu tempoh untuk menjalankan siasatan, ia berdasarkan kes-kes melalui Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Tinggi dan Rayuan.

“Apa yang ada di dalam Akta di bawah Seksyen 20 (3) Akta Perhubungan Perusahaan adalah, seseorang pekerja jika berpendapat bahawa penamatan kerja tanpa alasan munasabah, maka beliau boleh membuat aduan di jabatan Perhubungan Perusahaan dalam tempoh 60 hari.

Selepas itu Jabatan Perhubungan Perusahaan akan mengadakan satu mesyuarat pendamaian di antara pekerja dan majikan,” katanya kepada Berita Daily.

Menurutnya lagi, jika Zakaria nekad untuk mempertahankan dirinya dan yakin tidak bersalah, maka isu ini boleh dilanjutkan sehingga ke pengetahuan Kementerian Sumber Manusia sebelum ke peringkat Mahkamah Perusahaan bagi perbicaraan.

“Jika dapat selesai di peringkat itu maka, satu perjanjian akan dibuat oleh kedua-dua pihak dengan terma-terma yang dipersetujui.

“Jika tidak, pegawai Perhubungan Perusahaan akan membuat satu laporan kepada Menteri Sumber Manusia, dan menteri itu akan mengkaji selepas itu jika berpendapat kes itu harus dirujuk ke Mahkamah Perusahaan dan perlu dibicarakan maka menteri akan buat demikian,” tambah beliau.

Semalam Zakaria diarah bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah FGV yang bermesyuarat yang dipengerusikan oleh Isa Samad selaku Pengerusi FGV.

Tindakan ini diambil susulan siasatan yang dijalankan berkenaan tunggakan bayaran oleh sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, anak syarikat FGV.

Mengulas lanjut, Sivanesan yang juga Ahli Jawatankuasa Menyelematkan Felda DAP menegaskan, Zakaria perlu diberikan ruang untuk memberi penjelasan terhadap tuduhan yang dikaitkan dengannya sebelum siasatan dan penggantungan dilakukan.

“Ini adalah satu hukuman yang dikenakan terhadap Zakaria tanpa mendengar kesnya.

“Jadi mereka boleh buat siasatan dalaman sebelum gantung Zakaria. Jika berpendapat Zakaria terlibat dalam penyelewengan atau sebagainya mereka boleh gantung Zakaria dengan pertuduhan,” ujarnya lagi.

Isu ini terdahulunya tercetus selepas penulis blog, Raja Petra Kamaruddin, berkata Isa sedang berusaha untuk menyingkirkan Zakaria daripada jawatannya.

Raja Petra dalam portal miliknya mendakwa Isa mahu menyingkirkan Zakaria kerana dianggap terlalu lurus dan tidak mahu meluluskan urus niaga ‘di bawah meja’ yang Isa mahukan.

Lanjutan kesediaan Zakaria disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beliau hari ini hadir ke ibu pejabat agensi tersebut dan menyerahkan dokumen FGV.

Tiada ulasan: