Jumaat, 9 Jun 2017

[KEMASKINI] Anwar mohon deklarasi ketepi sabitan kes liwat

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman pemula kepada kerajaan Malaysia selepas mendakwa peguam Tan Sri Shafee Abdullah menerima bayaran RM9.5 juta.
 
Peguam Anwar, N. Surendran berkata saman tersebut dikemukakan bagi mendapatkan keadilan kepada Anwar, selepas Shafee didakwa menerima bayaran berkenaan beberapa minggu sebelum pemimpin PKR itu dipenjarakan.
 
"Tujuan mengapa saman ini dikemukakan adalah kerana haknya untuk mendapatkan pendakwaan yang adil telah dinafikan.
 
"Anwar tidak sepatutnya dipenjarakan walaupun dalam tempoh satu hari," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi tadi.
 
Anwar memohon satu deklarasi bahawa sabitan kesalahan liwat II di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2014 diisytiharkan batal dan tidak sah dan ultra vires atau di luar bidang kuasa Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan.
 
Anwar juga memohon deklarasi bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 adalah batal dan tidak sah atas sebab-sebab yang sama.
 
"Dengan kes ini maka kita akan mendapat jawapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sehingga kini Najib dan Shafee mendiamkan diri malah tidak menafikan pendedahan dari Sarawak Report," kata seorang lagi peguam Anwar, R. Sivarasa.
 
Sarawak Report baru-baru ini melaporkan Shafee, peguam yang mewakili pihak pendakwaan yang berjaya mensabitkan tuduhan liwat terhadap Anwar, menerima wang berjumlah RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak.
 
Portal itu turut menerbitkan gambar pengesahan yang menunjukkan dua transaksi berjumlah RM9.5 juta, satu daripadanya pada Februari 2014, dua minggu sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Anwar, daripada tidak bersalah kepada bersalah.
 
Shafee merupakan ketua pendakwa dalam kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila perkara itu dibawa ke mahkamah rayuan dan persekutuan.
 
Dalam pada itu, Shafee yang diserbu pemberita bagi mendapatkan maklum balas bersabit dakwaan tersebut, enggan mengulas lanjut.
 
Shafee sebaliknya berkata beliau akan membuat satu kenyataan media kemudian.
 
 

Tiada ulasan: