Khamis, 29 Jun 2017

Kedai cuci dan kering 24 jam kini ganti dobi tradisional

DETIK DAILY



PETALING JAYA: Hafiz Tarmizi, 22, tidak pernah pertimbangkan membeli sebuah mesin basuh untuk kegunaan harian. Sehingga tahun lalu, dia lebih suka membasuh pakaiannya menggunakan tangan.

Bagi Hafiz yang sedang menyimpan duit untuk majlis perkahwinannya, mesin basuh bukan keutamaan lebih-lebih lagi memandangkan dia hanya menyewa bilik untuk sementara waktu. Tetapi kehadiran dobi 24 jam di sekitar Sunway Mentari, di mana Hafiz dan tunangnya tinggal membantu meringankan bebannya.

hafiz-laundry-3Sekali seminggu, Hafiz yang berasal di Perak dan bekerja di sebuah kilang di Selangor, mengunjungi dobi 24 jam berdekatan untuk mencuci dan mengeringkan pakaiannya.

Mesin basuh dan pengering yang besar – yang boleh memuatkan pakaian sehingga 14kg – membenarkan Hafiz dan tunangnya membasuh dan mengeringkan pakaian mereka secukupnya untuk seminggu dalam masa kurang 1 jam.

“Dulu saya cuci baju menggunakan tangan, kemudian sidai baju sahaja dalam rumah, tapi baju tu tak lah kering sangat,” kata Hafiz kepada FMT.

Dobi 24 jam di sekitar kawasan bandar tumbuh bagai cendawan, memudahkan kerja membasuh dan mengering baju untuk orang seperti Hafiz.

Kebanyakan kedai ini mempunyai sekurang-kurangnya 12 mesin basuh dan pengering.

Harganya pun berpatutan: bawah RM10 untuk mencuci dan mengering baju 10kg, iaitu RM4.50 untuk mesin basuh dan RM4.50 untuk mesin pengering.

Sesetengah kedai turut dilengkapi Wi-Fi untuk kemudahan mereka yang menunggu pakaian dicuci, di samping menawarkan sabun pencuci percuma.

Bagi warganegara Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, fleksibiliti mencuci dan mengeringkan baju 24 jam sehari adalah satu kelebihan.

“Kami tidak mempunyai mesin basuh, jadi kami cuci pakaian di sini dan sebab ianya beroperasi 24 jam, kami boleh datang bila dobi ini tidak beberapa sesak.”

Intan dan adik perempuannya mencuci pakaian serta cadar mereka sekali seminggu.

Untung

Biarpun modal permulaan perniagaan boleh mencecah separuh juta ringgit, pengusaha dobi 24 jam boleh mengaut untung yang banyak.

Di Beverly Hills, Kota Kinabalu, Sabah, seorang pengurus dobi 24 jam yang hanya mahu dikenali sebagai Larry, melabur sekitar RM450,000 termasuk belanja operasi untuk 6 bulan.

Selepas itu, secara purata, kos bulanan yang termasuk bil elektrik dan air boleh mencecah RM2,000 sebulan.

“Lebih kurang 2,000 orang pelanggan menggunakan dobi 24 jam ini dalam satu bulan, dan kebanyakan mereka menggunakan kedua-dua mesin basuh dan mesin pengering,” kata Larry.

Menurut Larry, selain dobi yang diuruskannya, terdapat 3 lagi dobi 24 jam di kawasan tersebut.

Tugas Larry sebagai pengurus termasuk memeriksa mesin basuh dan mesin pengering, serta mesin tukar wang.

Larry menerangkan, kebanyakan pelanggan dobi dari golongan pendapatan rendah dan sederhana, termasuk ibu tunggal, mahasiswa dan penjawat awam.

Ada juga pelanggan yang melepak di dobi itu hanya untuk menggunakan Wi-Fi percuma.

“Dobi ini juga menjual sabun pencuci, tapi ini kurang laku kerana kebanyakan pelanggan membawa sabun pencuci sendiri.”

Dia berkata kedainya turut menyewa ruang, seperti meletakkan kerusi urut menggunakan wang dan mesin minuman.

“Setakat 2 tahun dobi ini dibuka, kami belum mengalami masalah keselamatan, namun saya pernah dengar di dobi 24 jam lain, ada pencuri yang cuba membuka peti syiling kerusi urut.”

Dobi tradisional

Tetapi bukan semua gembira dengan kemunculan dobi 24 jam.

Pemilik kedai dobi tradisional dikenali Pak Cik Yeow berkata ia menjejaskan perniagaannya.

Dobi tradisional seperti kedai Pak Cik Yeow di Petaling Jaya ini terpaksa mempelbagaikan perkhidmatan untuk kekal.

Dobi tradisional seperti kedai Pak Cik Yeow di Petaling Jaya ini terpaksa mempelbagaikan perkhidmatan untuk kekal.
“Sebenarnya dobi otomatik berasaskan syiling sudah lama wujud dan sering digunakan di negara asing, cuma di Malaysia, ianya tidak begitu laku sehingga beberapa tahun yang lalu.

“Dahulu, pengusaha dobi tradisional akan membantu pelanggan mencuci baju mereka menggunakan mesin basuh berasaskan syiling, cuma kami akan mencuci, mengering dan melipatkan baju mereka dan caj mereka 50sen untuk usaha kami,” kata Yeow yang menjalankan dobinya di sebuah pangasapuri di Sunway Mentari.

Yeow berkata kelemahan mesti itu ialah ia hanya boleh memuatkan pakaian sehingga 5kg.
Sebaliknya, mesin dobi 24 jam mampu mencuci dan mengering bilangan baju yang banyak, cukup untuk seminggu.

Yeow berkata dia mengenakan caj RM3.90 setiap kg untuk mencuci, mengering dan melipat baju pelanggan dan akur harga ini jauh lebih mahal dari dobi 24 jam.

“Perniagaan saya susut sebanyak 60%. Dahulu, dari satu unit pangsapuri sahaja saya boleh memperoleh 4 pelanggan. Saya dan isteri sibuk sehingga perlu kerja sampai tengah malam, terutamanya pada hari minggu supaya boleh siapkan kerja.

“Sekarang, hidup lebih relaks, bagi saya tak mengapa sebab saya hampir nak bersara dan anak saya semua dah dewasa. Saya bernasib sebab saya masih mempunyai pelanggan tetap termasuk restoran dan dobi saya juga menawarkan perkhidmatan menjahit dan meminda (alter) baju.”

Yeow berkata trend membeli pakaian atas talian melahirkan pasaran baru untuk perkhidmatan meminda baju.

Menurutnya, jika pengusaha dobi tradisional mahu perniagaan mereka bertahan, mereka harus mempelbagaikan perkhidmatan serta jenis pelanggan mereka, termasuk mencari pelanggan dari sektor komersil termasuk restoran dan pusat urut.

Yeow yakin dobi tradisional masih akan bertahan kerana ada pelanggan yang cerewet tentang pengendalian pakaian mereka.

“Semestinya ada pelanggan yang mahu pakaian mereka dilipat atau diseterika mengikut cara tertentu dan tidak ada mesin yang boleh melakukan benda tersebut.

“Mungkin suatu hari nanti, dobi tradisional akan menjadi perkhidmatan premium.”

Tiada ulasan: