Khamis, 29 Jun 2017

Kayu getah dilarang eskport berkuat kuasa 1 Julai

THE MALAYSIAN TIMES



JOHOR BAHRU: Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan eksport kayu getah berkuat kuasa 1 Julai ini bagi memenuhi keperluan industri perabot negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini berikutan masalah pengusaha industri perabot, khususnya 234 pengusaha di sekitar Muar.

“Pada awal bulan ini, 234 pengusaha tersebut tertekan dengan dua masalah, iaitu kesukaran mendapatkan pekerja baru dari Bangladesh dan kekurangan sumber kayu getah untuk perabot bagi dieksport ke luar negara.

“Lantaran itu, mereka mengadakan demonstrasi kira-kira tiga minggu lepas di Muar,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Johor yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini, hari ini.

Wee berkata, tindakan melarang eksport kayu getah itu amat penting bagi memenuhi keperluan industri perabot tempatan, sekali gus meningkatkan nilai eksport negara.

Beliau berkata sebelum ini, Malaysia merupakan negara pengeksport perabot keenam terbesar dunia, namun ia kini menurun ke tangga kesembilan.

Katanya, 63 peratus eksport perabot negara adalah dari Johor dengan 95 peratus daripadanya melibatkan pengusaha perabot dari Muar.

“Kayu getah ini merupakan satu penjanaan sumber yang cukup besar. Kalau kita menjual kayu getah ini kepada negara lain seperti Vietnam, ia tidak menguntungkan kita.

“Kerajaan Johor juga mempunyai pendirian yang sama, di mana kita utamakan bahan mentah ini untuk kegunaan domestik. Ini kerana ia akan memberi nilai tambah lebih besar daripada kita menjualnya, yang akhirnya negara lain yang memproses menjadi perabot dan menjual semula kepada Malaysia dan ternyata tidak menguntungkan,” katanya.

Menurut Wee, hasil eksport kayu getah dianggarkan RM200 juta hingga RM300 juta setahun berbanding hasil eskport perabot bernilai RM9.5 bilion setahun.

Beliau berkata, larangan eksport kayu getah sudah tentu melegakan pengusaha industri perabot kerana apabila tiada sumber kayu getah, harga bekalan bahan mentah terbabit mencecah RM2,300 satu tan berbanding RM1,600 satu tan sebelum ini.

“Larangan eksport itu dikuatkuasakan sehingga kita lihat pasaran mencukupi. Permintaan industri ialah jangan kita jual kayu getah, jadi, lebih baik potensi itu dikembangkan daripada menjualnya.

Dari segi pekerja asing pula, kita sedang mencari kaedah dan masih perlukan sedikit masa bagi rundingan,” katanya.–Bernama


Tiada ulasan: