Rabu, 21 Jun 2017

Jawatan tertinggi Pakatan Harapan: Kini antara Dr Mahathir, Wan Azizah

Jawatan tertinggi Pakatan Harapan: Kini antara Dr Mahathir, Wan Azizah
Tumpuan kini diberikan kepada Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon untuk mengetuai barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
PERSAINGAN bagi kedudukan teratas dalam Pakatan Harapan (PH) kini antara Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Ini berikutan keputusan Anwar Ibrahim yang menarik diri daripada dipertimbangkan sebagai calon kepimpinan dalam pakatan pembangkang.

The Malaysian Insight difahamkan Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin juga mengambil keputusan yang sama bagi jawatan presiden dalam PH sebelum pengumuman Anwar.

Beliau bertindak demikian "untuk membantu mempercepatkan proses" memuktamadkan senarai pemegang jawatan dalam gabungan itu, satu tugas yang bertukar lebih rumit daripada dijangkakan.

Apabila PH memutuskan untuk mendaftar sebagai gabungan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS), gabungan itu mempunyai tiga perkara dalam senarai.

Sumber PH berkata: "Tiga perkara itu adalah logo, perlembagaan dan senarai pemegang jawatan. Logo paling mudah manakala dua yang terakhir terbukti menjadi cabaran."

Sumber itu berkata PH menyediakan beberapa set perlembagaan untuk dimasukkan bersama dalam senarai kepimpinan.

"Tetapi nampaknya kita tidak boleh bergerak pada tahap barisan kepimpinan. Oleh itu, penarikan Anwar sangat tepat pada masanya. Ia menjadi isyarat kepada semua parti - PKR, DAP, Bersatu dan Amanah – hanya perlu meneruskannya."

"Namun, Anwar tidak akan ditinggalkan kerana beliau masih menjadi pemimpin penting bagi pembangkang. Hanya buat masa ini sekurang-kurangnya, beliau mesti menjadi penasihat."

Pada Sabtu, Anwar mengeluarkan kenyataan dari penjara, mendesak PKR, DAP, Amanah dan Bersatu dalam menumpukan usaha bersama untuk mengalahkan Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau kesal terdapat percubaan mengubah pakatan pembangkang menjadi cerminan BN, hanya satu parti politik berhak bersuara berbanding parti komponen lain.

Dalam kenyataannya, Anwar juga mengumumkan beliau memilih untuk tidak menawarkan diri sebagai calon perdana menteri.

Tekanan menamakan PM

Sumber itu menambah apabila mereka mencetuskan idea membentuk PH, mereka tidak memikirkan senarai kepimpinan akan mempunyai status yang sama seperti barisan Kabinet bayangan.

Tetapi sejak sebulan lalu, tekanan untuk menamakan calon bagi jawatan perdana menteri menjadi keutamaan.

"Selepas berbincang dengan pelbagai penyokong dan pihak berkepentingan, kami kini tahu pentingnya meletakkan seseorang di depan untuk mengetuai menentang BN semasa pilihan raya akan datang."

Apabila ditanya sama ada PH menetapkan tarikh akhir baru untuk memuktamadkan senarai itu selepas melepasi tarikh akhir Jumaat lepas, sumber itu berkata: "Saya harap ia akan diadakan tidak lama lagi."

Tiada ulasan: