Sabtu, 10 Jun 2017

Jadikan pembatalan AMGGRC sebagai pengajaran

SALMIYAH HARUN

 
 
DEWAN Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) melihat pembatalan penganjuran ‘All Malaysia-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) yang akan berlangsung pada pertengahan Jun hadapan sebagai satu pengajaran kepada seluruh masyarakat di Malaysia amnya, dan kelompok Yahudi Zionis khasnya yang cuba mengambil tempat penting di Malaysia.
 
DMPNS turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Melaka, Ketua Polis Melaka diatas usaha untuk memastikan program tersebut tidak diteruskan, seterusnya meredakan kerisauan dek wujudnya elemen mengugat kestabilan negara dan keharmonian kaum.
 
Menurut Ketua DMPNS Wan Hasrina Wan Hassan gelagat Yahudi Zionis ini telah dirakamkan dan  dipersembahkan oleh Allah di dalam pelbagai tempat dan tema di dalam al-Quran.
 
"Sikap mereka ini diketahui gelojoh dengan kuasa dan pengaruh, sanggup membunuh dan menghalalkan darah umat Islam dan insan yang tidak bersalah demi memenuhi cita-cita mereka, pastinya tidak akan berhenti untuk menyeru supaya manusia meninggalkan cahaya Islam dan panduan al-Quran sehingga ke hari Kiamat.
 
"Bahkan bukan itu sahaja, mereka masih terus melanggar undang-undang hak asasi manusia di peringkat antarabangsa kononnya diatas nama keamanan, meneruskan agenda menjajah negara Palestin untuk mendirikan negara haram Israel,  walaupun telah diberi amaran dan tekanan oleh pelbagai organisasi dan individu, tanpa mengira agama, kaum dan budaya termasuklah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Hak Asasi Manusia (UNHCR)," tegasnya kepada Harakahdaily.
 
Justeru, beliau berkata semua masyarakat di seluruh pelusuk tanah air digesa berhati-hati dengan sebarang agenda seperti ini supaya keamanan dan kesejahteraan negara yang dikecapi ini, tidak ada campur tangan oleh pihak-pihak yang berkepentingan jahat.
 
DMPNS juga turut bersama menyokong pembatalan siri yang sama, ‘All Borneo Revival Convocation 2017’ yang dijadualkan berlangsung di Sarawak akhir Jun ini.
 
Beliau berharap agar penganjuran program dan aktiviti seumpama ini tidak lagi dianjurkan di Malaysia dan mendesak Kementerian Dalam Negeri tegas menyatakan pendirian Malaysia terhadap penganjuran program yang memberi ruang kepada musuh-musuh Islam bertapak di tanahair ini.
 
"Bersama-samalah kita berdoa di kesempatan Ramadan bulan barakah ini, agar Allah tidak menguji Malaysia dengan fitnah dan bala sehingga kita menjadi pemaksiat kepada Allah dan Allah menyelamatkan Malaysia dari perancangan zalim para zionis yahudi laknatullah," ujarnya. – HARAKAHDAILY
 
 

Tiada ulasan: