Rabu, 7 Jun 2017

Isa perlu dibuang daripada Felda, kata PAS

Berita Daily Staff

Banyak masalah Felda hari ini kebanyakannya datang daripada FGV dan pengurusan Isa, kata Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat bahawa Pengerusi Felda Global Venture Berhad (FGV) Mohd Isa Abdul Samad perlu dibuang terus daripada Felda.

Katanya, banyak masalah Felda hari ini kebanyakannya datang daripada FGV dan pengurusan Isa.

“Ketika rombakan Felda dibuat pada bulan Januari 2017, PAS telah menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri Najib Razak mengekalkan Isa Samad sebagai Pengerusi Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV).

“PAS meramalkan Shahrir (Abdul Samad) dan Isa bakal bertembung, dan ini akan satu persaingan politik yang tidak perlu di dalam Felda yang bakal merugikan Felda dan khasnya peneroka,” kata Tuan Ibrahim.

“Mengekalkan Isa di FGV akan menyebabkan Shahrir sukar melaksanakan langkah-langkah memulihkan Felda. Sepatutnya Isa perlu dibuang terus daripada Felda,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pertembungan antara Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Zakaria Arshad tidaklah menghairankan, malah sudah dijangka.

“Sekiranya Zakaria perlu bercuti, Isa lagi perlu bercuti untuk memastikan siasatan yang telus dapat dijalankan terhadap dakwaan kedua-dua pihak dan penyelewengan dalaman FGV dengan serta-merta,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah PAS mencadangkan agar Shahrir dapat dilantik menjadi pemangku pengerusi FGV.

“Terbukti keputusan menyenaraikan FGV dan melantik Isa menerajui Felda adalah dua kesilapan besar PM yang bakal diingati peneroka sampai bila-bila,” kata beliau lagi.

Untuk rekod, Zakaria yang digantung jawatannya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV sementara menunggu siasatan berhubung tawaran tertentu membabitkan anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd selesai.

Beliau kemudiannya menyuarakan kesediaannya untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sahaja menyiasat dirinya malah organisasi itu.

Terkini dilaporkan harga saham FGV di Bursa Malaysia turun 3.5 peratus selepas memasuki senarai 10 saham cergas utama pada sesi pertengahan jatuh enam sen kepada RM1.67 dengan 14.29 juta saham diniagakan.

Tiada ulasan: