Isnin, 12 Jun 2017

Insentif raya: PM terus dera peneroka tidak sehaluan dengan Felda

 MALAYSIA DATELINE

Peneroka Felda

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terus mendera peneroka yang menguruskan kebun secara persendirian bagi mendapatkan pendapatan yang lebih baik.

Mazlan Aliman Presidennya Mazlan Aliman (gambar) berkata, pihaknya kesal dengan pengumuman Najib bahawa bayaran insentif hari raya hanya diberikan kepada peneroka yang berurusan dengan Felda.

Sebaliknya peneroka yang mengusahakan kebun sendiri dan pernah memfailkan saman terhadap Felda tidak akan diberikan bantuan ini.

"Ia merupakan tahun ke-4 berturut turut, iaitu sejak 2014, peneroka Felda yang menguruskan kebunnya secara persendirian dan mengambil tindakan saman terhadap Felda dinafikan hak mereka.

"Langkah berterusan Kerajaan dan Felda ini semata-mata dendam dan bersifat menghukum mana-mana peneroka yang berdikari atas kebun mereka sendiri bagi memastikan pendapatan lebih baik dan mengelak bebanan hutang yang bertimbun akibat pengurusan tidak cekap Felda.

"Adalah menyedihkan, meskipun sebahagian besar mereka masih menjual hasil di kilang milik Felda, peneroka yang menyahut seruan kerajaan dan Felda agar berdikari, didera sedemikian rupa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan, Najib mengumumkan Insentif Raya sebanyak RM500 kepada setiap keluarga peneroka Felda bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata dividen Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) sebanyak RM280 juga akan diberikan kepada setiap peneroka Felda.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pembayaran insentif itu melibatkan peruntukan sebanyak RM47.28 juta manakala peruntukan dividen berjumlah RM26.4 juta akan diserahkan kepada 94,555 peneroka.

"Bayaran insentif hari raya ini, saya mahu jelaskan, kita akan bayar kepada semua yang berurusan dengan Felda sahaja...yang tidak berurusan, hendak saman Felda, minta maaflah...tidak termasuk," kata beliau ketika berucap pada majlis Sambutan Ihya' Rahmat Ramadan Felda peringkat kebangsaan di Felda Sungai Sayong, Kulai semalam.

Mengulas lanjut, Mazlan menegaskan, peneroka mempunyai hak untuk menggunakan saluran perundangan apabila timbul pertikaian mengenai masalah yang dihadapi kedua belah pihak.

"Peneroka tiada pilihan lain disebabkan sikap berat sebelah Felda jika berlaku masalah seperti isu kadar perahan gred dan pengurusan ladang.

"Seharusnya kita menghormati pilihan peneroka kerana ia jaminan dalam Perlembagaan Persekutuan. Proses Timbang Tara yang ada dalam perjanjian antara peneroka dengan Felda selalunya berakhir dengan ketidakadilan buat peneroka," katanya yang juga ahli jawatankuasa Amanah Nasional.

Menurut beliau juga, pelantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi Felda yang diharap membawa berita gembira buat seluruh peneroka tidak kira bersama Felda atau tidak tidak kesampaian.

"Untuk kesekian kalinya, dengan kemelut FGV, hutang peneroka yang bertimbun, pendapatan peneroka yang tidak stabil, kos sara hidup dan perlaksanaan GST, Aidilfitri yang akan disambut dua minggu lagi kekal muram buat peneroka," katanya.

Tiada ulasan: