Ahad, 11 Jun 2017

Harga sotong, ikan naik di beberapa pasar Kota Bharu

BERNAMA

Harga bahan makanan yang kian melambung wajar mencelikkan wanita untuk mengundi Pakatan Harapan. Foto Wan Zahari Wan Salleh


Harga beberapa barangan basah terutama makanan laut didapati sedikit meningkat semasa bulan puasa di beberapa pasar di sekitar Kota Bharu, dipercayai akibat kekurangan bekalan.

Tinjauan Bernama mendapati harga sotong dijual pada harga RM25 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini, udang RM36 sekilogram berbanding RM34 dan ikan mengalami kenaikan antara RM1 dan RM3.

Harga daging lembu tempatan turut meningkat kepada RM32 berbanding RM28, daging import kekal RM22 begitu juga ayam kekal pada harga antara RM7 dan RM7.50 sekilogram.

Seorang peniaga Zainal Abidin, 57, berkata kenaikan harga tidak dapat dielakkan kerana peniaga sendiri membelinya pada harga tinggi daripada pembekal.

“Harga sotong yang dibeli daripada pembekal meningkat kepada RM20 atau RM22 sekilogram berbanding RM18 dan RM20 sebelum bulan puasa. Saya terpaksa menaikkan sedikit harga sotong kerana perlu mendapat sedikit keuntungan.

“Kenaikan harga makanan laut ini mungkin berlaku kerana ramai nelayan yang tidak turun ke laut sepanjang bulan Ramadan ditambah cuaca yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Siti Khadijah.

“Saya akan mengurangkan harga jualan jika pembekal turut mengambil tindakan sama,” tambahnya.

Seorang pembeli Hafizan Ramli, 32, berkata kenaikan harga sudah pasti memberikan bebanan kepada pengguna.

Beliau berharap perkara berkenaan tidak berlanjutan dan menggesa pihak berkaitan melaksanakan kawalan harga.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun turut mengaku terdapat kenaikan terhadap beberapa jenis barang basah di beberapa kawasan.

Beliau berkata kenaikan harga mungkin disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan terutama membabitkan hasil laut selain permintaan yang tinggi daripada pengguna.

“Kenaikan berlaku antara RM1 dan RM2 bagi setiap barangan,” katanya.

Tiada ulasan: