Jumaat, 9 Jun 2017

Harga borong ayam makin mahal

Harga borong ayam makin mahal
Rodiyah bersama adik dan pekerjanya sentiasa memastikan ayam golek dijual memenuhi cita rasa pembeli.

GUA MUSANG - Peniaga di bazar Ramadan melahirkan kebimbangan untuk meneruskan perniagaan apabila harga borong ayam mentah sudah mencecah RM8.40 sekilogram.

Kenaikan ini amat dirasai peniaga yang menjual juadah berasaskan ayam terutama peniaga ayam golek dan ayam bakar.

Peniaga ayam golek, Rodiyah Mohamad, 46, berkata, kenaikan harga ayam secara mendadak amat memberi kesan terhadap perniagaannya apatah lagi dia menetapkan harga jualan seekor ayam hanya RM24.

“Bukan saja makin mahal, ayam juga lebih besar, serba salah nak jual.

“Biasanya jual ayam golek berat 1.7 atau 1.8 kilogram dengan harga RM24 seekor. Bila harga naik, susah pula nak dapatkan berat kurang dari 2kg, ia beri masalah kepada kami.

“Boleh jual tapi terpaksalah tanggung rugi. Ayam lagi berat, mahal dan ambil masa nak masak. Untuk naikkan harga tak mungkin sebab kami dah tetapkan harga,” katanya.

Tambahnya, sepanjang Ramadan ini, dia terpaksa menutup gerainya sehari kerana sukar mendapatkan bekalan ayam yang boleh dijual.

“Harga ayam setiap hari makin naik, sebelum ini harga borong sekitar RM6.40 saja. Tiap hari lebih kurang 50 hingga 60 ekor ayam saya jual dan sentiasa habis.

“Saya tak tahu berapa harga ayam menjelang Aidilfitri nanti. Diharapkan ia dapat dikawal sebab amat beri kesan kepada kami peniaga,” katanya.

Mahal tak apa, asal sedap

 

Pengunjung bazar Ramadan, Nor Ilyana Ismail, 27, berkata, biarpun berdepan kos sara hidup tinggi sejak akhir-akhir ini, namun masih ada gerai yang menjual dengan harga berpatutan.

Katanya, gerai ayam golek yang ada di bazar Ramadan menawarkan harga berbeza di mana ada yang menjual serendah RM20 seekor.

“Ada beberapa kedai di bazar Ramadan tapi saya lebih utamakan rasa. Ada yang jual ayam golek RM20, RM24 dan RM25 seekor, tapi saya lagi berminat dengan rasa.


Berat ayam golek dijual di bazar sekitar kurang 2kg.
“Mahal sikit pun tak apa asalkan rasa sedap. Setakat ini, harga ayam golek masih di tahap mampu beli,” katanya.

Bagaimanapun, Ilyana memberitahu, harga juadah di bazar Ramadan agak mahal dan tidak masuk akal sejak akhir-akhir ini.

Katanya, dia pernah membeli juadah air asam perut lembu dengan harga RM8 untuk enam keping sahaja di Bazar Ramadan Pusat Sivik, di sini.

“Selain air asam, lemak goreng juga dijual dengan harga RM5 dalam kuantiti sikit, tiga ketul saja. Sekali itu saja saya beli, lebih baik masak.

“Tapi masih ada gerai dengan harga murah, pandai-pandailah pilih. Saya lagi suka kuih-muih, hanya RM2 sebungkus,” katanya.

Harga kawalan diumum seminggu sebelum raya

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberitahu, kerajaan akan mengumumkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan 2017 bagi mengawal harga ayam seperti biasa.

Ketua Cawangan KPDNKK daerah, Adnan Abd Aziz berkata, situasi di mana harga ayam naik mendadak ini berlaku di semua daerah.

“Kebiasaannya, menteri akan umumkan harga kawalan ini setiap kali seminggu sebelum menjelang perayaan. Kita tunggu tarikh pengumuman dahulu.

“Ada tempoh penguatkuasaan ke atas harga ayam hidup, borong dan runcit serta barang-barang lain. Pada hari-hari biasa harga ayam di pasaran tidak dikawal.

“Ia bergantung juga kepada kos pengangkutan dan makanan ayam. Harga ayam hanya dikawal dalam mengikut musim perayaan dalam tempoh tertentu,” katanya.

Tiada ulasan: