Isnin, 5 Jun 2017

Hadi terangkan sebab Pas membisu siapa calon PM

MALAYSIA DATELINE

Datuk Seri Abdul Hadi Awang


Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masih menjalani rawatan di Intitut Jantung Negara sempat menulis mengenai siapa calon perdana menteri sekiranya parti pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

Presiden Pas ini berkata, parti itu tidak pernah membincangkan siapa perdana menteri yang bakal dilantik walaupun ujarnya lagi, ada pimpinan utama dalam Pas pernah menyuarakan pandangan siapa bakal calon perdana menteri.

"Saya mengikuti perbincangan hangat dikalangan semua parti yang sedang berjuang menghadapi PRU14 yang begitu galak menamakan calon Perdana Menteri, kecuali Pas tidak mencalonkan sesiapa.

"Dahulunya ada pemimpin jadian dalam Pas juga berwirid dengan nada yang sama. Sekarang sudah meninggalkan Pas," ujarnya dalam kenyataan yang dipetik dari Harakahdaily.net itu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, tindakan Pas membisu memperkatakan siapa calon perdana menteri menimbulkan kehairanan di kalangan penyokong parti itu.

"Semua pihak merasa hairan mengapa Pas diam membisu? Adapun ahli dan penyokong Pas yang sangat setia sanggup tidak berpeluh dan berpecah kepala bertanya siapa calonnya sama ada jawatan Penghulu Kampung, Adun, Parlimen dan jauh sekali siapa calon PM," ujarnya.

Abdul Hadi turut menceritakan pengalamannya bertemu dengan seorang duta Amerika Syarikat di negara ini yang ingin bertemu dengan beliau untuk menyatakan pendirian parti itu ketika PRU13 lalu dan turut bertanyakan soalan sama siapa bakal perdana menteri jika Pakatan Rakyat ketika itu memenangi piliha raya umum.

"Ketika PRU13 dahulu, TYT Duta Amerika minta mahu bertemu saya, setelah dia membatalkan kesediaannya untuk datang ke Pejabat Pas, saya pula dijemput ke rumahnya.

"Dengan rasa kehairanan saya pergi juga, ditemani kawan terdekat Datuk Mustafa Ali dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Politik saya. TYT Duta bersama dua pegawai, katanya salah seorang daripadanya datang daripada U.S.

"Saya jangka dia tanya soalan hudud yang biasanya dijadikan senjata menghina Islam, rupanya perbualan politik secara umum khususnya PRU. Apabila saya bertanya, mengapa U.S. bersama kerajaan diktator di beberapa negara Islam sehingga kalau parti Islam menang dibatalkannya dengan kuasa tentera dan ada juga negara Islam yang tidak ada pilihan raya, padahal U.S. adalah negara besar yang paling lantang mendukung demokrasi. Dia menjawab bahawa polisi U.S. tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

"Akhirnya, dia bertanya saya: “Siapakah Pas calonkan jadi PM Malaysia kalau menang PRU?” Saya menjawab secara sepontan: “Siapakah calon yang dipersetujui oleh U.S.?” Mereka semua ketawa besar, kemudian terdiam," ceritanya.

Katanya lagi, Pas dari dahulu penubuhannya menyambung perjuangan Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Beliau turut memetik beberapa ayat al-Quran dan Hadis.

"Mengikut Al-Quran dan Sunnah serta diriwayatkan oleh para ‘ulama dalam kitab-kitab yang banyak.
Hadis baginda S.A.W bersabda: “Demi Allah! Aku tidak melantik orang yang meminta jawatan atau rakus mahukan jawatan”. Hadisnya juga: “Di antara kemusnahan umatku di akhir zaman apabila jawatan menjadi pemimpin dianggap peluang untuk diri, keluarga dan kroni”.

Justeru tegasnya lagi parti itu jangan terpengaruh dengan budaya politik lain daripada Islam.

“Kita wajib terima siapa sahaja yang menerima Islam walaupun dia bukan Pas," ujarnya.

Tiada ulasan: