Ahad, 11 Jun 2017

FGV: Siasatan SPRM beri isyarat negatif kepada pasaran

Wartawan MalaysiaGazette
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad hadir membawa dokumen ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan selepas beliau diarahkan bercuti dan dituduh melakukan kesalahan urusniaga membabitkan Safitex dan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd. di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

KUALA LUMPUR – Siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan campur tangan kerajaan dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) memberi petunjuk bahawa ada masalah besar berlaku dalam pengurusannya.

Ia, sekali gus telah memberi isyarat yang negatif kepada pasaran.

Lantaran itu, bukan sesuatu yang luar biasa jika harga saham FGV tidak stabil dan tekanan jualan berterusan.
Seorang pemerhati pasaran berkata, syarikat milik Felda itu dilanda kemelut selepas disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012 apabila harga sahamnya terus merosot secara konsisten.

Saham FGV disenaraikan pada harga RM4.55 dan ia pernah melonjak hingga RM5.20 sesaham sebelum merudum dan jatuh sehingga di bawah RM2 sesaham pada masa ini.

“FGV sudah lama dilanda kemelut dan apabila ada masalah berlaku seperti tender tidak ikut proses sebenar, banyak projek menggunakan wang IPO dan pembelian yang salah. Ini adalah masalah dalam tadbir urus.

“Jadi dengan siasatan SPRM dan kehadiran Datuk Seri Idris Jala kita harap semua kemelut ini diselesaikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, sudah sampai masanya Felda selaku pemilik terbesar FGV dengan kepentingan melebihi 33 peratus mempunyai wakil-wakil dalam syarikat ini supaya mempunyai peranan yang lebih.

“FGV adalah sebuah syarikat milik awam, sehubungan itu pengurusan tidak boleh diberikan secara menyeluruh kepada lembaga pengarahnya.

“Perlu ingat setiap peneroka mempunyai 800 saham dalam FGV, yang mana dibeli ketika harga RM4.50 sesaham.

“Ada dalam kalangan peneroka yang masih membayar ansuran antara RM50 hingga RM70 sebulan.
”Sekarang ini jangan cakap jual saham (FGV) dapat untung, kalau pulang balik modal pun sudah cukup baik,” tambahnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: