Jumaat, 30 Jun 2017

Fahami taktik jenayah siber, elak jadi mangsa


ISMA WEB
 


KOTA KINABALU – “Seorang ibu menyerahkan simpanannya yang berjumlah enam angka kepada lelaki yang dikenali hanya melalui Internet. Puas anak-anaknya menasihatkan jangan berikan wang itu tetapi tidak diendahkan.

Perkara ini dikongsi seorang pegawai kanan polis kepada orang ramai yang hadir di forum bertajuk ‘Challenges Facing The Future Cyberspace’ yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah sempena Borneo Cyber Security Challenge 2017 pada April lepas.

Orang ramai yang hadir terperanjat dan sukar untuk mempercayai seseorang itu boleh dengan mudah tertipu seperti yang diceritakan Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), ACP Ahmad Nordin Ismail di majlis berkenaan.

Hakikatnya, meskipun forum demi forum dianjurkan untuk mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai pelbagai risiko siber serta jumlah penipuan yang didedahkan oleh pihak polis dan media, saban hari masih ramai yang menjadi mangsa kepada orang yang hanya dikenali melalui Internet.

JENAYAH LAMA DIPERMUDAHKAN TEKNOLOGI

Ahmad Nordin menegaskan bahawa kejadian jenayah melibatkan internet sebenarnya adalah jenayah yang wujud sekian lama cuma kali ini dilakukan dengan pendekatan baru. Secara prinsip, apa yang salah di dunia sebenar juga satu kesalahan di dunia maya.

Jika diperhatikan dengan teliti, jenis jenayah yang dilakukan melalui dunia maya sebenarnya sama dengan apa yang berlaku di dunia nyata iaitu seperti menipu, mencuri, malah rogol dan bunuh. Penjenayah hanya melakukan sedikit perubahan mungkin dalam cara bekerja sesuai dengan kemajuan teknologi hari ini untuk mencari mangsa.

Kerja mereka menjadi lebih mudah kerana tidak perlu lagi memperkenalkan diri sebenar kerana boleh menyamar di sebalik identiti rekaan di dunia maya. Justeru, penipuan dalam talian yang melibatkan cinta, e-dagang dan kewangan, pornografi, berita palsu dan pelanggaran hak cipta tersebar luas.

Laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan Bigo Live serta aplikasi sembang maya seperti Whatsapp, WeChat dan Telegram menyediakan akses tanpa had kepada mereka yang berpotensi menjadi mangsa. Selalunya wanita mudah menjadi mangsa kepada pelbagai penipuan, kasanova dan pemangsa seksual.

PENIPUAN MERUGIKAN MANGSA

Walaupun setelah forum berkenaan dianjurkan pada April lepas, tidak ada tanda jumlah jenayah siber berkurangan. Nyata sekali ramai rakyat Malaysia masih bersikap tidak ambil tahu dan tidak peduli.

Jumlah kes dan kerugian terus meningkat saban tahun. Pada 2014, terdapat 1,026 kes penipuan ‘African Love Scam’ dilaporkan yang melibatkan kerugian berjumlah RM52.87 juta manakala pada 2016 bilangan itu meningkat kepada 2,489 kes dengan kerugian sebanyak RM98.9 juta. Dalam kesemua kes, mangsa tidak pernah bertemu secara langsung dengan kenalan yang mereka anggap ‘kekasih’ namun mudah menyerahkan wang mereka.

Penjenayah siber terlebih dahulu mengkaji pelbagai aspek yang berkaitan. Mereka juga mengenal pasti semua kelemahan sama ada dalam sistem mahupun bakal mangsa, sebelum mereka mengorak langkah.

“Sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi antarabangsa mereka kerana mereka mendapati Malaysia sebagai lokasi yang kondusif untuk aktiviti mereka terutamanya berdasarkan fakta bahawa Malaysia mempunyai sistem telekomunikasi yang baik dan sambungan Internet yang memudahkan operasi sindiket,” jelas Ahmad Nordin.

Salah satu sindiket penipuan antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi adalah ialah ‘Macau Scam’ yang mula dikesan pada 2012 yang beroperasi di Sabah. Mangsa penipuan ini dikatakan kerugian sebanyak 10 bilion Renmibi (RM6 bilion).

Sindiket penipuan itu muncul semula pada Mei dan polis menumpaskan operasi mereka di Shah Alam, Selangor. Seramai 20 warga China dan lima warga Taiwan ditahan kerana menipu mangsa.

Menggunakan Voice over Internet Protocol (VoIP), anggota sindiket itu menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai Bank Negara yang mendakwa mangsa terlibat dalam transaksi haram dan perlu membayar sejumlah wang bagi mengelakkan sebarang tindakan.

RAKYAT MALAYSIA MANGSA MUDAH

Rakyat Malaysia mudah menjadi mangsa penjenayah siber terutamanya memandangkan hakikat bahawa negara ini mempunyai bilangan pengguna internet yang tinggi.

Menurut Ketua Jabatan Pelaksanaan Jangkauan MCMC, K Juslly Elis, jumlah pengguna internet di Malaysia sudah menjangkau 24.1 juta, iaitu kira-kira dua per tiga penduduk negara yang seramai 31.7 juta orang.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Internet amat ‘rapat’di hati mereka, dan Juslly berkata, sebanyak 97 peratus pengguna media sosial di Malaysia memiliki akaun Facebook dengan 18 juta pengguna aktif media sosial setiap hari.

Secara purata pengguna, masing-masing memiliki empat akaun media sosial.

Menyentuh aspek penggunaan pula, 90.7 peratus daripada mereka menggunakan telefon pintar dengan penggunaan Internet terutamanya untuk tujuan komunikasi teks (92.7 peratus), carian maklumat(90.1 peratus) dan media sosial(80 peratus).

SIKAP PENGGUNA UNDANG RISIKO

“Bagaimanapun, sekiranya berlaku jenayah siber, ianya kerana kesalahan pengguna Internet itu. Sikap mereka sebenarnya yang mengundang risiko kerana sewenang-wenangnya berkongsi maklumat sensitif seperti lokasi, nombor telefon, nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi lain menjadikan mereka sasaran mudah penjenayah siber.

Oleh itu, kemahiran kawal selia kendiri oleh netizens adalah penting di mana mereka perlu memahami dan mematuhi undang-undang serta etika yang berkaitan dengan penggunaan teknologi Internet.

Ahmad Nordin memberi jaminan bahawa polis akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi dalam siasatan jenayah siber dan memberi kesedaran awam mengenai bahaya jenayah siber.

Negara ini bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran alam siber, termasuk cubaan merekrut pengganas menggunakan Internet.

“Jangan sekali-kali melayan mesej atau sms daripada pihak yang tidak dikenali. Mereka mendahului kita setiap kali seseorang klik untuk membaca pesanan mereka. Berhati-hati sebelum mendedahkan nombor telefon kepada sesiapa juga kerana separuh daripada maklumat peribadi anda terdapat di dalamnya. Ingat, serigala sentiasa ada di sekeliling kita,” kata Ahmad Nordin.  Bernama


Tiada ulasan: