Jumaat, 9 Jun 2017

Dr Ganja’ hadapi 36 pertuduhan

 
‘Dr Ganja’ dihadapkan di 3 mahkamah berasingan hari ini atas 36 pertuduhan dadah termasuk 14 pertuduhan memiliki kanabis yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.


dr-ganja

KLANG: Seorang pesara tentera bergelar ‘Dr Ganja’ dihadapkan di 3 mahkamah berasingan hari ini atas 36 pertuduhan dadah termasuk 14 pertuduhan memiliki disyaki kanabis yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad, Kapten (B) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 58, didakwa atas 14 pertuduhan memiliki dadah disyaki jenis kanabis dengan anggaran berat kasar 97.9 gram di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam jam 12.30 tengah hari pada 26 Mei lepas.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Amiruddin mengangguk faham selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap 18 pertuduhan menanam 18 tumbuhan disyaki kanabis yang diperoleh sama ada secara langsung ataupun sebaliknya, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi 18 pertuduhan itu, Amiruddin didakwa mengikut Seksyen 6B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6B (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 6 kali jika sabit kesalahan.

Sementara di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis dengan anggaran berat kasar 55 gram, 1 pertuduhan memasukkan kanabis ke dalam badannya dan 1 pertuduhan memiliki perkakas yang digunakan untuk menghisap dadah disyaki kanabis.

Amiruddin didakwa melakukan semua kesalahan itu di rumah di Kampung Delek Dalam dan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 12.30 tengah hari dan 10 malam, 26 Mei lepas.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6, Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 10 (2)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketiga-tiga mahkamah tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin dan menetapkan tarikh yang sama iaitu 28 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali, Aliah Atiqah Razali dan Rizal Azani Zainal Adzam sementara tertuduh diwakili peguam Farhan Maaruf.

Media sebelum ini melaporkan kejayaan polis menumpaskan sindiket jualan ganja online dengan menggunakan pelbagai taktik termasuk memasarkannya dalam bentuk susu, coklat, madu dan kek.

Sindiket yang menggunakan jolokan nama ‘Dr Ganja’ itu dilaporkan turut menawarkan perkhidmatan perubatan bagi tujuan penjualan dadah bagi mengubati semua jenis penyakit yang tidak mampu dirawat di hospital.

Tiada ulasan: