Sabtu, 10 Jun 2017

Di tengah-tengah kehangatan isu rasuah, PAS saran pemimpin contohi Nik Aziz

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS hari ini menyarankan agar pemimpin mencontohi sikap telus bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mentadbir Kelantan suatu ketika dahulu.
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun menjadi Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz tidak pernah menggunakan walau sedikit peruntukan dan keistimewaan yang disediakan kepadanya.
 
"Model 25 tahun kepimpinan Nik Aziz di Kelantan, walaupun mendapat pelbagai elaun, beliau tak pernah ambil. Bukan sahaja beliau, malah exco pun tidak ambil. Apa yang kita hendak yakinkan rakyat adalah bagaimana kita hendak bina keyakinan tersebut.
 
"PAS melihat mengurus perubahan lebih penting dari perubahan itu sendiri. Sebagaimana disebut Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dengan melihat situasi Arab Spring, dimana rakyat mahu kerajaan yang adil, lebih baik, lebih harmoni untuk mereka.
 
"Rakyat bangkit menentang kezaliman, ribuan dibunuh dan dipenjara. Tetapi apa hasilnya? Mereka sangat kecewa. Mereka keluar mulut buaya, masuk mulut singa. Perubahan berlaku diambil kesempatan oleh kuasa besar," katanya merujuk kepada beberapa skandal pentadbiran dan pengurusan yang dihadapi negara pada masa kini.
 
Beliau berkata demikian semasa berucap di Munasyaqah Rakyat, di sini pagi tadi.
 
Nik Aziz yang memegang tampuk pentadbiran Kelantan sejak 1990, dikenali sebagai seorang pemimpin zuhud yang dihormati semua pemimpin parti politik.  
 
Dalam pada itu ujar Tuan Ibrahim, pemimpin yang baik adalah pemimpin yang tidak menggunakan haknya meskipun ia 'halal' untuk dirinya.
 
Tambahnya, jika golongan berkenaan berjaya mengelakkan perbuatan sedemikian, maka budaya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan tidak akan berlaku di sesebuah negara.
 
"Yang membezakan Islam bukan sekadar pemimpinnya yang tidak rasuah tapi pemimpin yang tidak ambil walaupun halal dari segi konteks undang-undang. 
 
"Walaupun ia boleh diambil dan tidak salah, tapi pemimpin yang kurangkan mengambil khazanah rakyat kerana hisaban Allah di akhirat, mereka lebih aula' dari pemimpin  yang mengambilnya walaupun itu haknya," katanya.
 
Tuan Ibrahim berkata pemimpin yang beragama Islam perlu sedar tanggungjawab yang dipikulnya dan tidak menyalahgunakannya kerana ia akan dihitung di akhirat kelak.
 
Sementara itu mengulas kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tuan Ibrahim berkata PAS mengambil pendirian supaya pengerusi syarikat itu, Tan Sri Isa Abdul Samad meletak jawatan dengan segera.
 
"Bagi pihak PAS, kami mengalu-alukan tindakan SPRM. Isu besarnya bukan semata-mata terhadap (Datuk) Zakaria yang dituduh, tetapi pada kami isu itu lebih besar. Kegagalan pengurusan FGV yang dipengerusikan (Tan Sri) Isa (Samad), beliau kena bertanggungjawab. 
 
"Dan kami lebih suka jika Isa letak jawatan atau PM sendiri buat arahan. Jika kita tahu gagal dan teruskan kegagalan dan akhirnya akan berulang yang sama," katanya.
 
Selasa lalu, lembaga pengarah FGV mengarahkan empat pegawai kanan agensi perladangan itu, termasuk presiden kumpulan dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, bercuti berkuat kuasa serta merta.
 
Arahan bercuti itu dikatakan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
 
Selain Zakaria, tiga lagi yang dipaksa cuti adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.
 
 

Tiada ulasan: