Ahad, 4 Jun 2017

DAP bersenjata akal, PAS ada wahyu

 


ULASAN | DAP adalah sebuah parti politik macam PAS dan parti-parti politik yang lain. Jika berkawan, ia adalah dalam ruang politik demokrasi. Jika bermusuh, maka ia juga sama. Ia amalan demokrasi sihat yang saling bersaing dengan matlamat memandu negara kepada yang terbaik.
 
Apabila hubungan PAS-DAP putus, maka ia samalah dengan putusnya hubungan politik di antara parti-parti yang berikat dan bersekutu sebelumnya. Ada persetujuan dan permuafakatan, maka termeterailah gabungan dan terhasillah kekuatan. Apabila wujud kekhilafan dan pengkhianatan, maka terputuslah jalinan dan terhasillah perpecahan dan mungkin kerugian juga.

Semua rakyat Malaysia berhak atas nama warga negara untuk menentukan masa depan negara dan memilih apa yang mereka suka. Sama sahaja, sama ada muslim atau non muslim, semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Semua adalah warga negara yang sama dan setaraf.

Siapa pun akan mula dianggap sebagai musuh negara hanya apabila mereka menentang perlembagaan negara. Saat itu, negara boleh bertindak menghukum mereka sehingga mengharamkan sebarang gerakan atau parti politik yang menentang perlembagaan negara. Ia seperti gerakan komunis yang nyata menentang perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan negara adalah akidah negara. Seperti diri mulia dengan akidah dan sanggup mati kerana akidah dan kepercayaan, begitulah negara. Maruah dan kemuliaannya adalah pada menjunjung perlembagaannya.

Untuk mengubah perlembagaan negara, rakyat perlu melalui dua perkara utama. Pertama, majoriti terbesar di Dewan Rakyat iaitu dua pertiga. Yang kedua, mereka perlu melakukannya dengan cara yang dibenarkan. Jika tidak, segala usaha adalah salah dan tidak berperlembagaan.

Sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, kesemuanya mesti menjunjung perlembagaan dan undang-undang negara.

PAS dan DAP berhak mematlamatkan perjuangan masing-masing. Samalah juga parti-parti lain seperti Umno, PKR, MCA dan lain-lain.

Perjuangan DAP sah

DAP dengan dominasi non-muslim sudah pasti mahu memastikan negara kekal sebagai sebuah negara sekular, bahkan menuntut lebih kebebasan dan persamaan dalam agama dan bangsa.
Mereka secara langsung menolak wujudnya sebuah negara Islam yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai dan hukum-hukum Islam.

Selama ianya dalam ruang perlembagaan, maka perjuangan DAP adalah sah dan berperlembagaan.
PAS sebagai sebuah parti politik yang berperinsipkan Islam sudah pasti mahu memartabatkan agama itu sebagai agama persekutuan dengan menjadikannya teras di dalam pembinaan negara.

PAS menolak amalan sekular yang awal dan akhirnya adalah memisahkan negara daripada agama lalu meminggirkan peranan Islam untuk kebangunan negara.

Ketika DAP berjuang dan berkempen dengan segala upaya mereka bersenjatakan akal dan deklarasi hak-hak asasi manusia yang dituhankan, PAS pula berjuang dan berkempen dengan segala upayanya bersenjatakan akal dan wahyu.

Akal adalah bumi dipijak. Wahyu pula adalah langit dijunjung.

Kelebihan DAP ialah janji manis sebuah kemajuan, kebebasan dan kesamarataan. Kelebihan PAS ialah kewajiban agama yang mesti dilaksanakan iaitu tugas khilafah di muka bumi Allah yang menuntut kemajuan, keadilan dan kebebasan daripada selain Allah bagi seluruh rakyat.

Ia adalah pertentangan yang nyata di antara PAS dan DAP. Tiada masalah. Ia masih dalam ruang lingkup perlembagaan negara. Masing-masing berjuang di atas lunas demokrasi yang dibenarkan.

PAS dan DAP pernah diadukan oleh musuh politiknya untuk diharamkan. Tetapi perlembagaan negara menolak kerana tiada sebab, bahkan nyata masih bergerak dan beroperasi di atas lunas-lunas demokrasi negara.

Justeru apa isunya PAS dan DAP? Mengapa berpakat dan mengapa bermusuh?

Ya, berpakat kerana bersama berjuang membuang halangan yang tidak demokratik. Kezaliman pemerintah Umno BN dalam banyak perkara adalah kesalahan dan perlecehan terhadap rakyat dan negara.

Ia menutup hak rakyat dan menghalang parti pembangkang daripada mara untuk diterima oleh rakyat.
Ya, berpecah dan bermusuh adalah kerana pengkhianatan terhadap perjanjian persefahaman bersama. Toleransi awal tidak mampu lagi dikekalkan.

Bukan pendakwah kalau 'mandul'

Siapa betul dan siapa bersalah? Biarkan rakyat mendengar dan memutuskan. Masing-masing berhak berhujah. Rakyat yang budiman dan enggan ditipu dengan fitnah sudah pasti akan memilih yang terbaik untuk mereka dan negara mereka.

DAP memusuhi Islam? Bukan hanya DAP. Siapa pun yang menghalang umat Islam untuk bebas beramal dengan agama mereka sepenuhnya di negara mereka, maka mereka adalah musuh Islam. Siapa pun..

DAP diperangi? Musuh mulut diperangi dengan mulut. Musuh media diperangi dengan media. Musuh senjata diperangi dengan senjata. Tiada melampau dalam beragama.

Kewarganegaraan adalah perjanjian keamanan di antara sesama rakyat untuk hidup bersatu menjunjung perlembagaan dan undang-undang negara. Dalam politik dalaman negara, permusuhan bukan bererti peperangan. Ia adalah pertentangan bagi memilih yang terbaik untuk negara.

Di mana dakwah?

PAS adalah pendakwah dan pejuang untuk agamanya. Rasulullah SAW adalah pendakwah memujuk dan menerangkan kepada Abu Jahal dan Abu Lahab di perbandaran Mekah.

Di medan perang Badar, baginda adalah pejuang yang menghunus pedang ke atas Abu Jahal dan Abu Lahab.

Dalam musuh menerima dan memberi keamanan, kita adalah pendakwah. Dalam musuh menghalang dan memfitnah, kita adalah pejuang yang mempertahankan agama. Usah menggelar diri sebagai pendakwah kalau kecut dan mandul untuk menjadi pejuang.

Dr Zakir Naik adalah bintang kejora di dunia hari ini. Dia menjadi lampu buat semua manusia - muslim dan non-muslim - yang mencari-cari kebenaran hakiki. Dia pendakwah. Tetapi dia memerlukan para pejuang yang mesti mempertahankankan haknya untuk terus berdakwah dengan penuh aman.

Siapakah yang mampu mempertahankannya daripada ancaman dan konspirasi besar musuh Allah kalau bukan sebuah negara Islam atau sebuah kekuatan yang besar daripada pejuang Islam?

Akhir, biarkan PAS dan DAP bersama parti-parti lain berjuang dengan matlamat masing-masing di atas lunas-lunas perlembagaan tanpa halangan yang menyalahi demokrasi yang adil.

Ingat, jangan langgar perlembagaan negara. Peringatan ini adalah buat Umno dan DAP. PAS dengan matlamat Islam yang agung, insya-Allah akan kekal di landasan perjuangan yang sah di sisi undang-undang ke arah negara sejahtera menuju keredaan Allah.

NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ ialah anggota parlimen Pasir Mas dan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Tiada ulasan: