Khamis, 8 Jun 2017

Bulan Ramadan: Mana sifat malu?

Shawaliah Hadir

Lebih baik masyarakat mendidik diri mewujudkan situasi perbincangan dan dalam masa yang sama menjaga pertuturan bagi mengelakkan fitnah

KUALA LUMPUR: Salah seorang ulama tampil ke hadapan mempertikaikan sifat malu di kalangan masyarakat hari ini khususnya umat Islam yang menayang kemesraan sehingga melampau batas di khalayak umum.

Jelas Dr Fathul Bari, sekalipun pasangan Muslim khususnya mempunyai hubungan yang sah, ia tidak menghalalkan cara untuk tidak sensitif terhadap persekitaran apatah lagi di bulan Ramadan ini.

“Isteri Nabi pun nak cerita Nabi pernah kucup dia kemudian Nabi yang sedang berpuasa solat dua rakaat. Dia nak cerita Nabi kucup dia pun, dia malu. Cuma oleh kerana cerita itu ada sangkut paut dengan hukum, dia kata ada salah seorang isterinya dicium dan kemudian dia sembahyang dua rakaat.

“Nak cerita kucup pun malu, jadi di mana letaknya sifat malu kita?

“Malu ini satu sifat yang baik dari seluruh perspektifnya. Jadi benda itu pun kena jaga, tidak boleh ikut suka hati nak cium di mana-mana, kena jaga itu kena kawal lah.”

“Jangan mempertontonkan perkara yang tidak sepatutnya di depan anak-anak,” katanya kepada Berita Daily.

Beliau terdahulu diminta mengulas mengenai penularan video seorang lelaki ‘berusia’ bercumbuan di dalam kereta sambil diperhatikan anak perempuan yang duduk di bahagian belakang ketika umat Islam menyambut Ramadan, Selasa lalu.

Video itu berdurasi 2 minit 22 saat menerima kecaman netizen yang menganggap perbuatan mereka tidak melambangkan umur sehingga tidak berfikir dari segi logik akal.

Sementara itu Fathul turut menegur sikap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan video seperti itu di laman sosial yang kini semakin berleluasa.

Kata beliau, lebih baik masyarakat mendidik diri mewujudkan situasi perbincangan dan dalam masa yang sama menjaga pertuturan bagi mengelakkan fitnah.

“Hentikan penyebaran video seperti itu, sebarkanlah kata-kata yang baik di bulan yang baik ini.

“Barang siapa menutup keaiban seorang muslim itu Allah akan tutup keaibannya juga… Bercakap yang baik-baik di bulan Ramadan ini, menjaga lisan kita menjaga pandangan kita dan segala-galanya bukan menyebarkan keaiban orang,” ujar beliau lagi.

Sekalipun wujudnya perbuatan yang tidak wajar oleh si pelaku, namun menurut Fathul lagi ia tidak harus disusuli dengan kata-kata nista dan tomahan yang akhirnya akan memberi kesan kepada keluarganya kelak.

Tiada ulasan: