Sabtu, 10 Jun 2017

Bomba tingkat langkah kekang rasuah

 
Jabatan Bomba sentiasa memberi penekanan terhadap aspek integriti di kalangan anggota dan pegawainya bagi mengelak penyalahgunaan kuasa atau rasuah.


Wan-Mohd-Nor-bomba

MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa memberi penekanan serius terhadap aspek integriti di kalangan anggota dan pegawainya bagi mengelak penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata walaupun setakat ini jumlah anggota yang terlibat dalam isu tersebut adalah terkawal iaitu seorang sahaja dalam tempoh tiga tahun lepas, namun pemantauan secara rapi dilakukan bagi mengekang ia berlaku.

Beliau berkata sebagai contoh, 2 unit yang diberi tumpuan khas bagi mengelak berlaku isu tersebut adalah Unit Perlesenan dan Unit Kelulusan Pelan Bangunan di bawah Bahagian Keselamatan dan Kebakaran.

“Tapisan rapi dilakukan ke atas pegawai dan anggota yang ditempatkan di unit berkenaan bagi mengelak daripada berlakunya isu integriti dan penyalahgunaan kuasa dalam menjalankan tugas.

“Pegawai atau anggota yang diragui tahap integritinya, kita tidak akan menempatkan mereka di 2 unit berkenaan selain kita juga mengurangkan ruang kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri,” katanya
kepada pemberita pada program ramah mesra dan bersahur bersama Ketua Pengarah JBPM di Balai Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata, amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bukan sahaja merosakkan integriti pegawai dan anggota yang terbabit, malah ia turut mencemarkan imej JBPM.

Sementara itu, mengulas mengenai 4 anggotanya yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah daripada pengusaha premis urut bagi melindungi kesalahan melanggar aspek keselamatan kebakaran pada Mac lepas, beliau berkata anggota tersebut masih menjalankan tugas seperti biasa kerana belum disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman.

Wan Mohd Nor berkata keempat-empat anggota berkenaan adalah dari Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat dan mereka tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan pemeriksaan premis.

Empat anggota JBPM berkenaan antara 12 anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi penguatkuasaan yang ditahan SPRM dalam 1 operasi khas di sekitar Selangor pada 13 Mac lepas.

Tiada ulasan: