Jumaat, 16 Jun 2017

BERSATU Parti Orang Kecewa?

Fuad Shahdan

BERSATU

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berdepan satu lagi masalah baru-baru ini apabila terdapat sebilangan pemimpin dalam gerakan pemuda Parti berkenaan atau dikenali sebagai ARMADA melahirkan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan Pengerusi Parti, Tun Dr. Mahathir dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Suara tidak puas hati ini sebenarnya bukan baru dalam BERSATU, sebelum ini kita telah saksikan bagaimana pergolakan berlaku di bahagian-bahagian Parti berkenaan di negeri Perak.

Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu sidang media dilaporkan berkata bahawa mana-mana ahli wajar menyuarakan pandangan dan rasa tidak puas hati mengikut saluran yang betul dan bukan menggunakan media untuk memburuk-burukkan pimpinan tanpa membawa hal berkenaan terlebih dahulu ke peringkat tertinggi parti.

Syed Saddiq juga menegaskan ahli yang terlibat akan dibawa ke Jawatankuasa Disiplin Parti untuk dinilai tindakan bersesuaian.

Namun sesuatu yang tidak molek ialah Syed Saddiq mengaitkan kegoncangan dalam Parti berkenaan sebagai angkara UMNO.

Ini merupakan satu tuduhan sembarangan yang dibuat tanpa asas kukuh.

Tindakan Syed Saddiq ini juga boleh dilihat sebagai satu usaha untuk mengalihkan isu kepimpinan lain dengan menyalahkan parti seteru.

Syed Saddiq sering melaung-laungkan idealisme politik matang dan baharu, namun apa yang dilakukan oleh beliau bukan satu perkara yang matang, malah dilihat tidak jauh bezanya dengan amalan politik lapuk yang cuba ditentangnya.

Perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh BERSATU atau Syed Saddiq, selain daripada mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin parti yang dilihat melawan arus, kemungkinan isu yang dibawa oleh pemimpin berkenaan perlu diperhalusi dan jika terdapat sebarang kebenaran dalam dakwaan berkaitan, maka tindakan sewajarnya perlu diambil.

BERSATU perlu dilihat menjadi parti politik contoh dengan berani mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengamalkan budaya politik terpilih.

Jika BERSATU berjaya melaksanakan perkara seperti ini, maka sudah tentu Parti ini akan dilihat sebagai berjaya mengotakan apa yang dikata.

Sejarah telah membuktikan, parti-parti baharu yang ditubuhkan oleh orang-orang yang kecewa biasanya tidak akan berjaya.

Semangat 46 misalnya ditubuhkan kerana kekecewaan sebilangan ahli UMNO terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir suatu masa dahulu.

Parti ini menjalinkan kerjasama erat dengan PAS, namun tidak berjaya menewaskan UMNO dan Barisan Nasional.

Akhirnya, parti ini berkubur dan kebanyakan pemimpin parti berkenaan pulang ke pangkuan UMNO, malah ada di antara mereka dilantik semula sebagai Menteri.

Terdahulu daripada itu, pengasas UMNO yang kecewa apabila keputusan dasarnya ditolak akar umbi dan segelintir pemimpin telah keluar dari Parti berkenaan dan menubuhkan Parti Negara.

Jelas Parti ini tidak berjaya dalam pilihan raya yang disertai dan tewas mudah dan akhirnya berkubur.

Sebenarnya penubuhan sesebuah Parti perlu mempunyai asas yang kukuh dan bukan dilaksanakan berasaskan kepada dendam peribadi kepada seseorang atau hanya disebabkan rasa kecewa tidak terpilih mahu pun disingkirkan daripada barisan kepimpinan.

Sesebuah parti itu perlu mempunyai objektif yang jelas dan tidak terkait dengan agenda peribadi mana-mana pemimpin.

Parti ialah tentang ideologi dan perjuangan dan BERSATU wajar mengukuhkan hal ini terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk muncul dalam saingan politik negara yang semakin sengit, jika tidak BERSATU akan dikenang sebagai sejarah seperti Semangat 46, sejarah orang-orang kecewa.

Tiada ulasan: