Selasa, 20 Jun 2017

Baiki kerosakan FGV, Felda lebih mahal

 
Oleh Naraza Muda


PELETAKAN jawatan Isa Samad secara sukarela sangat 'mengejutkan'. Bekas Pengerusi FGV ini disifatkan sebagai 'Anak Jantan' kerana bertindak demikian selepas mengadap Perdana Menteri di Sri Perdana hari ini.

Memang anak jantan sungguh setelah 'meratah' aset Felda berbilion Ringgit. Merugikan pelabur saham FGV, merampas tanah Felda Plantation, mencipta hutang RM5 bilion dari kalangan peneroka, melenyapkan peruntukan perumahan untuk anak-anak Felda, skandal TRT, skandal Pontian Plantation, skandal IRIS, skandal Grand Plaza Apatments, skandal di Mengatal Sabah, skandal hartanah di Bukit Katil Melaka, skandal PT Eagle High Plantation, skandal ikan sturgeon, skandal menghalau KPF dan lain-lain skandal.

Bila Isa letak jawatan sukerela, Najib masih memerlukan Isa. Tidak seperti orang lain. Letak jawatan kerana skandal melangkah ke penjara, tapi Isa masih dianugerahkan kedudukan sebagai pemangku Pengerusi SPAD, walaupun tidak semewah Felda, SPAD juga lubuk memeras keringat rakyat yang terlibat dengan perkhidmatan kepada rakyat, penguatkuasaan dan sudah tentu ada projek besar akan dicipta nanti. Satu suruhanjaya yang menjanjikan kuasa dan habuan.

Ikatan kukuh Isa dan Najib diterjemahkan dalam tindakan Najib terhadap Isa mutakhir ini sudah cukup buat rakyat Malaysia menilai siapa menjaga siapa? Siapa memerlukan siapa dan sebenarnya di belakang Isa, siapa pula di belakang Najib.

Pun begitu, warga Felda 'lega' seketika. Sudah selesai satu babak pemusnahan kecemelangan Felda dan sekarang babak membaiki kerosakan yang sudah tentu memerlulan Tan Sri Shahrir Samad bergandingan dengan Pemangku Pengerusi FGV Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob untuk mensejahterakan seketika kemelut Felda-FGV.

Apakah Isa boleh cuci tangan atau lepaskan diri dari kerosakan ini? Warga Felda jangan 'mudah lupa' atau mungkin dilupakan skandal terbesar Isa Samad terhadap kita semua. Masih ada Isa selepas Isa yang perlu peneroka Felda lalui. Paling penting sekarang peneroka Felda perlu kembalikan KPF ke dalam Felda agar koperasi terbesar warga Felda ini terus memacu cabaran kecemerlangan sebelum dirosakkan Isa Samad.

*Naraza Muda, Aktivis Membela Peneroka Felda (AMPF)

Tiada ulasan: