Ahad, 4 Jun 2017

Apakah PM akan pulihkan GLC lain juga?

MALAYSIAKINI


Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memulihkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain Proton yang turut mengalami kerugian, kata Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Beliau berkata demikian berikutan pengambilalihan kepentingan dalam Proton Holdings Bhd oleh Geely Automobile Holdings Ltd seperti diumumkan baru-baru ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata adalah lebih baik memiliki kepentingan yang lebih kecil dalam Proton berbanding memiliki pegangan 100 peratus tetapi mengalami kerugian ratusan juta.

Lim berkata meskipun pendapat perdana menteri itu dilihat munasabah, pendekatan itu juga mesti digunapakai terhadap GLC lain.

"Adalah sukar dibayangkan apabila banyak GLC kita mengalami kerugian besar setiap tahun walaupun 'dilindungi' oleh kerajaan kita dan beberapa GLC juga menikmati monopoli pasaran.

"Bukan sahaja Proton tetapi hampir semua syarikat-syarikat pengangkutan milik negara lain mengalami kerugian, dari Keretapi Tanah Malayu Bhd, Prasarana Sdn Bhd hingga ke Malaysia Airlines Bhd.

"Bukankah Najib juga perlu mencari 'kesatria' yang mampu memulihkan syarikat-syarikat yang gagal ini? Contoh lain GLC yang mengalami kerugian dengan monopoli pasaran adalah Halal Industri Development Corp Sdn Bhd, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Mimos Bhd dan Sirim Bhd.

"Mungkin sudah tiba masanya bagi Najib untuk menimbang semula keistimewaan monopoli yang diberikan kepada syarikat-syarikat ini," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 24 Mei, Geely diumumkan akan membeli pegangan 49.9 peratus dalam Proton daripada firma DRB-Hicom Bhd.

Tiada ulasan: