Ahad, 11 Jun 2017

Anwar jadi Penasihat PH kerana masih dalam penjara

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Pakatan Harapan (PH) mengambil kira keberadaan Ketua Umum PKR itu di dalam penjara.
 
Itu penjelasan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan menambah ia merupakan persetujuan dari kesemua pihak di dalam PH.
 
Malah kata mantan Menteri Besar Kedah itu, cadangan nama dilakukan oleh parti-parti komponen gabungan tersebut.
 
Kenyataan Mukhriz itu dilihat mengesahkan lagi ura-ura yang sedang bertebaran pada waktu ini bahawa Anwar dilantik sebagai penasihat gagasan pembangkang itu.
 
"Semua pihak bersetuju untuk mencadangkan Anwar sebagai penasihat.
 
"Jika beliau tidak berada di dalam penjara pada ketika ini, tentunya beliau yang mengepalai PH. 
 
"Namun atas keadaannya itu kita merasakan yang paling sesuai dari segi teknikal dan pragmatiknya adalah jawatan Penasihat, kerana kita pun tahu beliau boleh mengeluarkan nota dari penjara mengenai nasihatnya atas perkara tertentu berkaitan PH," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Mukhriz mengulas khabar angin mengenai persetujuan PH untuk melantik Anwar sebagai penasihat, selepas namanya dicadangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung pada Jumaat lalu.
 
Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan bahawa Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing dilantik sebagai Pengerusi dan Presiden PH, dengan hanya berkata 'ia masih di dalam perbincangan'.
 
Mukhriz kemudiannya memberi jaminan bahawa jawatan yang disandang Anwar itu juga penting dan tidak akan tenggelam dengan nama-nama lain yang akan dilantik ke jawatan tertentu di dalam gagasan pembangkang itu.
 
"Kita beri jaminan dalam hal itu. Kita bercakap mengenai peranannya ketika beliau masih menjalani hukuman. 
 
"Insya-Allah apabila beliau terlepas dari hukuman itu lain pula peranannya, lagi menyerlah peranan yang boleh dimainkan PH. Ditambah lagi jika kita menjadi kerajaan. Perkara itu banyak kali dibincangkan dan di pihak PPBM pun kita beri jaminan dalam hal itu," katanya lagi.
 
PH dijangka akan mengumumkan struktur organisasinya yang baru pada minggu hadapan, dan akan dihantar ke Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (RoS) dalam masa terdekat.
 
Beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini menafikan penyebaran senarai kepimpinan PH yang menamakan Tun Dr  Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar menyandang jawatan sebagai penasihat kepada dua tokoh tersebut.
 
 

Tiada ulasan: