Ahad, 4 Jun 2017

Antara panadol, BR1M, dan GST

Berita Daily Staff

Pemandu yang lama ini sengaja mengekalkan rakyat dalam keadaan sakit, pada masa yang sama berlakon menjadi doktor tunggal yang dapat memberikan panadol menyebabkan rakyat terpaksa bergantung padanya.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hampir semua rakyat bersetuju, negara memerlukan pemandu baru.

Tuan Ibrahim berkata, pemandu yang lama ini sengaja mengekalkan rakyat dalam keadaan sakit, pada masa yang sama berlakon menjadi doktor tunggal yang dapat memberikan panadol menyebabkan rakyat terpaksa bergantung padanya.

“Itulah kaitan sebenar antara GST (cukai barang dan perkhidmatan) dan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

“Kita mengakui bahawa kepimpinan negara yang diterajui oleh Umno-BN adalah punca kepada masalah negara. Namun, perkara yang lebih penting pada waktu ini ialah membantu rakyat bagi memahami situasi yang berlaku dalam negara kini,”  katanya, dalam satu kenyataan memetik Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS telah mengutarakan kerajaan teknorat sebagai penyelesaian.

“Rakyat memerlukan pemandu baru yang bukan sahaja tahu jalan yang ingin dilalui, tetapi turut memahami jalan mana yang selamat bagi rakyatnya di dunia dan akhirat.

“Pemandu ini tidak hanya sibuk membina dunia, tapi juga sibuk membina akhirat bagi negara dan rakyatnya.

“Oleh itu, pemandu yang baru mesti juga bertindak mengikut panduan al-Quran dan hadis,”  katanya.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan teknokrat adalah satu langkah ke hadapan bagi memberi peluang kepada tokoh dan cendekiawan negara menerajui hala tuju baru dan pentadbiran negara manakala parti dan ahli politik menjadi wadah perubahan tersebut.

“Maksud kerajaan teknorat ialah sebuah sistem pemerintahan yakni kuasa parti politik terhadap negara hanya terhad untuk melantik kalangan profesional sebagai eksekutif pentadbir negara bermula daripada perdana menteri hingga ke peringkat terbawah.

“Sebelum ini, pemimpin parti politik yang biasa menjawat jawatan perdana menteri dan menteri.
“Tetapi idea kerajaan teknokrat ini meletakkan penjawat tersebut berdasarkan kelulusan akademik tertentu yang tidak terlibat dengan pilihan raya,” katanya lagi.

Beliau berkata, melalui kerajaan teknokrat, kuasa politik yang didapati melalui pilihan raya hanyalah sekadar kuasa untuk melantik siapa yang sesuai di kalangan professional untuk mentadbir negara.

“Berdasarkan sejarah politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa bukan semua teknokrat tahu berpolitik dan bukan semua ahli politik itu berminda teknokratik,” katanya, lagi.

“PAS akan berusaha melanjutkan idea kerajaan teknorat ini sebagai satu model pentadbiran untuk negara.”

Tiada ulasan: