Jumaat, 9 Jun 2017

Adinda Sultan Selangor mangkat pada usia 68 tahun

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tengku Puteri Sofiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mangkat pada usia 68 tahun petang Khamis.
 
Menurut sumber Istana Selangor, Almarhum mangkat kira-kira pukul 4 petang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan jenazahnya dibawa ke Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah, Klang untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli-ahli keluarga termasuklah kerabat diraja Selangor malam tadi.
 
Jenazah Almarhum bagaimanapun dijangka akan dimandi dan disembahyangkan di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi Jumaat sebelum dibawa ke Makam Diraja Shah Alam, di sini untuk disemadikan dengan istiadat diraja kira-kira pukul 10 pagi.
 
Almarhum Tengku Puteri Sofiah dilahirkan pada 14 Mei 1949 dan merupakan salah seorang daripada adinda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain daripada adinda-adinda perempuan lain iaitu Tengku Puteri Zahariah, Tengku Puteri Arafiah dan Tengku Puteri Aishah.
 
Selain itu, Sultan Selangor turut mempunyai dua adinda lelaki iaitu Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah dan Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah.
 
Bagaimanapun, Tengku Puteri Aishah yang merupakan adinda bongsu kepada Sultan Selangor telah mangkat pada 30 Julai 2012 pada usia 56 tahun.
 
Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berangkat ke majlis bacaan surah Yasin dan tahlil ke atas Almarhum Tengku Puteri Sofiah bersama-sama para hadirin di Masjid Al-Watiqubillah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam tadi.
 
Selain itu, Pejabat Menteri Besar semalam mengesahkan penangguhan program Majlis Rapat Ramadan bersama penjawat awam negeri yang sepatutnya dijadualkan pukul 8 pagi Jumaat di Dewan Jubli Perak di Kompleks Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dipercayai bagi memberi penghormatan atas kemangkatan Almarhum.
 
Sebaliknya program yang akan dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu ditunda kepada 13 Jun ini. 
 
 

Tiada ulasan: