Selasa, 20 Jun 2017

Ada pelanggaran prosedur dalam Delima Oil – Idris Jala

Wartawan MalaysiaGazette
 
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad hadir membawa dokumen ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan selepas beliau diarahkan bercuti dan dituduh melakukan kesalahan urusniaga membabitkan Safitex dan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd. di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,

KUALA LUMPUR – Laporan bebas berhubung krisis Felda Global Ventures Bhd. (FGV) yang disediakan oleh Datuk Seri Idris Jala mendapati empat pengurusan kanan syarikat tersebut termasuk Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangannya telah melanggar prosedur syarikat.

Justeru, tindakan lembaga pengarah untuk memulakan prosiding displin ke atas mereka adalah tidak salah berikutan cukup bukti dan alasan munasabah untuk mengaitkan mereka dengan pelanggaran prosedur di dalam urusniaga Delima Oil Products (DOP) dengan Safitex.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, FGV dengan itu perlu meneruskan prosiding berkenaan.

Namun begitu, laporan bebas oleh Idris adalah berbeza dengan siasatan yang sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hasil siasatan SPRM akan didedahkan oleh mereka sendiri apabila telah selesai kelak.

Kes DOP ini juga menurut PMO telah menyedarkan semua pihak mengenai keperluan FGV untuk melakukan perubahan radikal terhadap urustadbir korporat dan kawalan perniagaan ke atas kumpulan dan anak-anak syarikatnya.

“Kami mencadangkan supaya FGV menubuhkan kumpulan “lonjakan urustadbir” untuk memastikan perubahan tersebut boleh dilakukan segera berbanding perubahan secara sedikit-sedikit.

“Kemerosotan prestasi kewangan FGV dan Felda dalam tempoh beberapa tahun lalu menunjukkan mereka perlu melakukan semakan semula perniagaan,” katanya.

PMO berkata, semakan tersebut merangkumi bahagian kepimpinan, strategi, perniagaan dan model operasi.

“Walaupun semakan tersebut telah dimulakan sejak tahun lepas namun Felda dan FGV perlu menyiapkan tugas ini dengan segera.

“Selepas siap, ia akan menyediakan platform terbaik untuk membetulkan kedudukan FGV dan Felda pada masa ini dan masa hadapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tan Sri Isa Samad yang telah melepaskan jawatannya di dalam FGV kini dilantik kerajaan sebagai Pemangku Pengerusi di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Tempat beliau kini dipangku oleh Tan Sri Sulaiman Mahbob berkuatkuasa serta merta.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: