Sabtu, 24 Jun 2017

80 ekor lembu habis dalam masa 4 jam



80 ekor lembu habis dalam masa 4 jam
Mohamad melapah daging pada Program Mantai Perdana anjuran Kerajaan Negeri yang diterajui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
 
SEREMBAN - Kira-kira 80 ekor daging lembu segar telah dijual dalam tempoh empat jam pada Program Mantai Perdana Aidilfitri 2017 di tapak berhampiran Masjid At- Taqwa, Paroi, di sini sebaik mula dibuka pada jam 5 petang sehingga 9 malam tadi.

Malah, daging dan ayam salai turut mendapat sambutan apabila habis dijual dalam tempoh singkat.

Program Mantai Perdana anjuran Kerajaan Negeri yang diterajui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menjadi tradisi sejak beberapa tahun lalu, adalah satu-satunya program terbesar dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah membeli daging dengan harga murah berbanding harga pasaran.

Selain daripada penjualan daging, pelbagai produk pertanian lain turut dijual ditapak program dengan harga yang berpatutan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada kali ini Program Mantai Perdana yang dijalankan lebih tersusun dengan pembukaan 20 kaunter selain mempunyai kakitangan mencukupi.
"Ini sekaligus memberi keselesaan kepada orang ramai yang datang membeli.

"Saya menjangkakan lebih ramai pembeli akan datang untuk mendapatkan daging dan produk pertanian lain pada harga yang murah untuk hari berikutnya sehingga bekalan habis.

"Bagaimanapun kita memberi jaminan akan menambah kuantiti daging jika permintaan meningkat,"katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di tapak proses penjualan program itu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Pengarah JPV, Dr. Azahari Shahridan Abu Bakar.

Mohamad berkata, harga sekilogram daging lembu dijual pada kadar RM28 sekilogram berbanding harga pasaran semasa RM35 sehingga RM38 sekilogram.

Beliau memberi jaminan daging yang dijual diproses mengikut spesifikasi JPV dimana ternakan bebas dari penyakit dan proses penyembelihan dilakukan dengan teliti serta dipantau oleh pegawai JPV di pusat persembelihan di Senawang.

Katanya, Kerajaan Negeri yakin program ini memberi manfaat dalam membantu mengurangkan beban rakyat khususnya golongan pendapatan rendah dan golongan kelainan upaya (Oku) dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.

"Secara keseluruhannya sebanyak 27.2 tan daging tidak termasuk ayam dijual pada Program Mantai Perdana kali ini," katanya.

Tiada ulasan: