Ahad, 11 Jun 2017

2 ditahan halang, usir MP Kluang di bazar Ramadan

 
Ketua Polis Kluang berkata, 4 lagi suspek sedang dikesan dan akan ditahan tidak lama lagi bagi membantu siasatan kes ini.


Mohamad-Laham


PETALING JAYA: Polis menahan 2 lelaki didakwa menghalang dan mengusir pasukan Pakatan Harapan diketuai Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dari DAP daripada mengedar kurma di bazar Ramadan Bandar Kluang, Johor semalam.

Kedua-dua mereka ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, 1.40 tengah hari.

BH Online memetik Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, penahanan mereka bagi membantu siasatan berkenaan kes provokasi termasuk menghalau beberapa anggota parti politik yang sedang mengedarkan sumbangan kurma kepada orang ramai di bazar Ramadan Bandar Kluang.

“Hasil soal siasat, seorang daripada suspek mengaku menumbuk mangsa yang sedang mengedar kurma di bazar berkenaan manakala seorang lagi suspek mengaku menolak mangsa yang lain.

“Empat lagi suspek sedang dikesan dan akan ditahan tidak lama lagi bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Video tindakan provokasi berkenaan viral di media sosial sejak malam tadi dan mendapat kecaman ramai termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkannya sebagai tindakan yang perlu dikecam.

“Tindakan yang perlu dikecam, lebih-lebih lagi pada bulan puasa. Tak perlu kita bertindak seperti ini walaupun berbeza pandangan politik,” kata Khairy menerusi akaun twitter beliau.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengecam insiden itu ambil menegaskan tindakan seumpama itu jelas tidak memaparkan sifat-sifat mulia Islam yang melarang umatnya mengasari orang lain.

“Walaupun berbeza kaum, agama dan fahaman politik, menghormati sesama manusia adalah tuntutan Islam yang utama dan sebagai umat Islam sewajarnyalah kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

“Saya berasa amat kecewa dan sedih dengan insiden itu. Walaupun bukan seorang yang beragama Islam, beliau sepatutnya tidak dihalang daripada berbuat demikian apatah lagi dimarahi dengan kata-kata kesat,” kata beliau.

Berdasarkan rakaman video yang diterima FMT semalam, kumpulan itu cuba menghalang Liew dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Ali serta pasukan mereka memasuki bahagian tertentu bazar.

Sheikh Umar mendakwa salah seorang pemuda terbabit pernah menghalang mereka memasuki bazar di bandar Kluang pada 2014.

Liew, Sheikh Omar dan seorang ahli PPBM Radzali Mohd Noor membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kluang 10 malam tadi.

Tiada ulasan: