Rabu, 31 Mei 2017

Zakir Naik: Jangan mudah beri status warganegara, kata penganalisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemberian status kerakyatan secara mudah kepada mana-mana pihak yang memohon boleh menimbulkan persepsi tertentu, ujar penganalisis politik, Datuk Dr Firdaus Abdullah.
 
Beliau berkata demikian mengulas laporan permohonan taraf kewarganegaraan sebagaimana dikemukakan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.
 
Sehubungan itu Firdaus menggesa kerajaan melakukan pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan Zakir, atau mana-mana individu yang lain.
 
"Saya mempunyai sedikit 'reservation' supaya kita jangan terlalu mudah memberikan. Apabila kita mudah memberikan ia akan menimbulkan sesuatu yang tak terfikirkan oleh orang ramai.
 
"Jika kita luluskan permohonan Zakir, jadi apa alasan kita untuk menolak (permohonan) orang lain?," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Terdahulu Zakir didakwa sedang memohon kerakyatan Malaysia selepas memiliki status penduduk tetap (PR) sejak lima tahun lalu.
 
Bagaimanapun menurut laporan akhbar antarabangsa, permohonan berkenaan belum lagi diluluskan pihak berkuasa Malaysia.
 
Mengulas lanjut, Firdaus mahu beberapa perkara penting diteliti terlebih dahulu sebelum permohonan itu diluluskan terhadap Zakir.
 
"Kalau hendak diberi kerakyatan itu, atas alasan apa?
 
"Sebelum kerajaan memutuskan pemberian kerakyatan kepada seseorang, antara yang patut dikaji adalah bilangan pemohon kerakyatan, status kerakyatan yang diberi sejak lima tahun lalu dan rasional disebalik memberikannya," ujarnya lagi.
 
Untuk rekod seseorang yang memohon kewarganegaraan Malaysia perlu tinggal di Malaysia selama tidak kurang 10 tahun dalam jangka masa 12 tahun pada tarikh permohonan dikemukakan.
 
Pemohon juga perlu mempunyai kebolehan Bahasa Melayu yang memadai, dan disokong permohonannya oleh dua rakyat Malaysia.
 
Zakir, yang sering mengadakan ceramah agama di negara ini pernah dikritik sesetengah pihak, memandangkan dirinya dikaitkan dengan aktiviti keganasan dan penggubahan wang haram.
 
Beliau yang dikehendaki pihak berkuasa di India bagaimanapun enggan pulang ke negaranya dan memberi syarat soal siasat ke atasnya hanya boleh dijalankan melalui aplikasi Skype.
 
 

Tiada ulasan: