Rabu, 31 Mei 2017

Wanita ditahan jual telekung ciplak Siti Khadijah

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA TERENGGANU: Gara-gara menjual telekung ciplak jenama terkenal Siti Khadijah, seorang wanita berketurunan Kemboja ditahan pihak polis selepas didakwa hampir sebulan melakukan kegiatan berkenaan.
 
Pengarah KPDNKK negeri, Azlan Abdul Samat berkata, wanita berusia 25 tahun itu dipercayai memperolehi keuntungan yang besar dengan cara yang mudah dengan menjual telekung ciplak itu di pasar-pasar malam di sekitar Kuala Terengganu.
 
Wanita berkenaan yang ditahan pada jam 2.15 petang di dalam sebuah serbuan di Kampung Bukit Besar, Jalan Pasir Panjang bagaimanapun dilepaskan selepas keterangannya diambil.
 
Serbuan dilakukan oleh sekumpulan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri.
 
Azlan memaklumkan wanita tersebut menghantar telekung Siti Khadijah yang tulen ke Vietnam untuk diciplak rekaannya sebelum dijual di sini.
 
“Dalam serbuan oleh sembilan pegawai penguat kuasa petang semalam turut disertai pemilik cap dagang Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. 

 
“Biasanya setiap sehelai telekung tiruan ini dijual antara RM100 hingga RM120, sedangkan yang tulen dijual RM150 hingga RM250,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat KPDNKK Terengganu di sini hari ini.
 
Kes disiasat bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang palsu atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
 
 

Tiada ulasan: