Khamis, 11 Mei 2017

Wanita cedera disamun ketika berjoging

MALAYSIAKINI


Seorang wanita cedera termasuk putus urat di tangan selepas bergelut dengan seorang lelaki warga asing yang menyamunnya di trek joging berhampiran The Light di George Town kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut SAC Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa berusia 24 tahun sedang berjoging seorang diri di trek berkenaan sebelum tiba-tiba seorang lelaki bertindak menahannya.

"Lelaki itu bertindak mengacukan pisau dan meraba badan mangsa untuk mencari barang berharga dan wanita berkenaan cuba melawan serta bergelut dengan suspek dan menyebabkan dia terkena pisau.

"Suspek mengambil telefon bimbit mangsa dan melarikan diri sebaik melihat wanita itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat terkena pisau,"katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan luka di tangan dan kaki kiri dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang oleh orang awam untuk rawatan lanjut.

Mior Faridalathrash berkata mangsa dalam keadaan stabil dan dia dipindahkan ke sebuah hosptal swasta untuk menjalani pembedahan.

Katanya susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 23 tahun di sebuah rumah kongsi berhampiran trek joging berkenaan dan merampas sebilah pisau.

"Polis turut merampas pakaian lelaki itu dipercayai dipakai ketika kejadian samuan berkenaan.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat menurut 394 Kanun Keseksaan,"katanya.- Bernama

Tiada ulasan: