Isnin, 22 Mei 2017

Wakil Umno, DAP diarah keluar DUN Pulau Pinang

 
 

Dua ADUN Pulau Pinang diarah meninggalkan mesyuarat Dewan Undangan Negeri hari ini selepas mereka terbabit dalam pertikaman lidah dan gagal mematuhi arahan Speaker Datuk Law Choo Kiang supaya duduk.

Kedua-dua mereka - RSN Rayer (DAP - Seri Delima) dan Datuk Shah Headan Ayoob Shah (BN-Teluk Bahang) tidak dibenarkan menghadiri perbahasan hari ini.

Pertikaman lidah tercetus apabila Rayer mendakwa ahli politik BN tertentu menjadikan wanita sebagai sebagai "objek seks".

Beliau berkata demikian ketika perbahasan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang oleh Mohd Saleh Man (PAS - Permatang Pasir), sempena pembukaan penggal kelima persidangan DUN, yang bermula hari ini dan akan diteruskan sehingga Jumaat.

Shah Headen yang tersinggung dengan kata-kata Rayer, menuntutnya menarik balik kenyataan itu. Akibatnya, tercetus jerit-menjerit di antara kedua-dua mereka apabila Rayer enggan berbuat demikian.

Speaker kemudian mencelah dan mengarahkan kedua-dua mereka untuk duduk dan membenarkan Mohd Salleh untuk meneruskan perbahasannya, tetapi apabila kedua-dua mereka tidak mematuhinya, Law mengarahkan mereka untuk meninggalkan dewan.

Ketika ditemui kemudian, Law berkata, kedua-dua mereka diarahkan keluar kerana gagal untuk mematuhi arahan supaya duduk bagi membolehkan perbahasan diteruskan.

Tiada ulasan: