Isnin, 22 Mei 2017

Wakil PKR tidak hadir angkat sumpah MDPP

ANTARAPOS.COM

Post Pic


KOTA BHARU:  Tiga wakil PKR Kelantan yang dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) tidak hadir pada majlis angkat sumpah yang diadakan pagi ini.

Ketiga-tiga mereka terdiri daripada Mohd. Rosdan Hassan dan Suzila Semail yang merupakan lantikan semula manakala seorang lagi Nor Rosmini Mohd. Nor pula lantikan baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kegagalan ketiga-tiga mereka hadir untuk mengangkat sumpah tidak memberi apa-apa kesan kerana kerajaan negeri masih bersikap terbuka.

“Bagi kita selagi tidak ada surat rasmi peletakan jawatan maka pelantikan itu kekal. Kita akan beri masa dan melihat kepada situasi dan perkembangan selanjutnya, setakat ini kita tidak terima apa-apa hitam putih termasuk daripada wakil PKR yang sudah mengangkat sumpah di beberapa majlis daerah.

“Kita melantik 37 wakil dari PKR sebagai Ahli Majlis di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini supaya mereka dapat bersama menyumbang demi kebaikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis MDPP di sebuah hotel di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 20 daripada 23 Ahli Majlis MDPP yang dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua MDPP, Mohd Anis Hussin.

Sebelum ini, Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir mengumumkan pihaknya akan melepaskan semua 75 jawatan yang disandang wakil mereka dalam pentadbiran kerajaan Pas Kelantan selepas keputusan Biro Politik PKR yang mengarahkan mereka berbuat demikian.

Tiada ulasan: