Rabu, 17 Mei 2017

Wakil PKR 'keluar' dari Kelantan, Exco PAS Selangor tiada keputusan

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
PETALING JAYA: PKR malam ini mengarahkan semua wakil parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan pimpnan PAS, melepaskan jawatan masing-masing susulan keputusan menamatkan tahaluf siyasi antara mereka.
 
Bagaimanapun kedudukan tiga exco dan wakil PAS dalam kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR akan diputuskan sekembalinya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada lawatan rasmi di luar negara.
 
"Kedudukan PAS di dalam kerajaan negeri Selangor telah dibincangkan pada malam ini dan akan diputuskan pimpinan PKR bersama Menteri Besar Selangor sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke luar negara," ujar Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PKR di ibu pejabatnya lebih tiga jam, malam tadi.
 
"PKR telah membuat keputusan bahawa semua lantikan politik PKR dalam kerajaan negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan-jawatan tersebut berkuatkuasa serta-merta," tambahnya sambil membacakan kenyataan media kepada pemberita.
 
Di Kelantan, PKR tidak memegang sebarang jawatan Exco namun wakil rakyat parti itu dilantik sebagai penyelaras di beberapa kerusi DUN selain menjadi ahli lembaga pengarah di syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).
 
Di Selangor, PAS mempunyai tiga wakil Exco selain ratusan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli lembaga pengarah GLC.
 
Azizah berkata pihaknya menerima keputusan PAS menamatkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan partinya namun menolak alasan yang diberikan PAS untuk berbuat demikian.
 
"PKR menerima keputusan PAS yang telah membuat ketetapan muktamad untuk membatalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, tetapi PKR menolak alasan-alasan yang telah mereka berikan," kata Azizah.
 
Justeru kata Azizah PKR akan mengatur langkah dengan rakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun depan.
 
PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR selepas menuduh parti itu sebagai tidak menyokong agenda perjuangan islam PAS dan bersekongkol dengan musuh politiknya untuk menyerang pucuk pimpinan PAS khususnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Minggu lalu Azmin dilaporkan media sebagai meminta tiga Exco PAS iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib meletakkan jawatan, namun ia dinafikan ketiga-tiga mereka.
 
Isu tu terus bertebaran kerana beberapa pemimpin terus mendesak PAS terus 'keluar' daripada kerajaan negeri Selangor selepas tamat hubungan politik dengan PKR.
 
 

Tiada ulasan: