Isnin, 8 Mei 2017

Usul putus tahaluf siyasi tak jejas tugas exco PAS di Selangor - Iskandar

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Usul putus hubungan dengan PKR yang diluluskan pada baru-baru ini tidak memberi kesan besar terhadap tugas exco-exco PAS di Selangor.
 
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata tiga exco parti itu, termasuk dirinya, akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
 
Untuk rekod, Muktamar Tahunan PAS Kali ke-63 pada hujung April lalu meluluskan usul putus tahaluf siyasi dengan PKR, dan perkara itu akan dimuktamadkan menerusi mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS.
 
"Terdapat banyak khabar-khabar angin tentang kedudukan PAS di dalam kerajaan negeri Selangor maka demi kestabilan kerajaan negeri ditegaskan di sini bahawa PAS masih bersama di dalam kerajaan negeri yang mendapat rakyat pada Pilihan Raya Umum 2013.
 
"Oleh yang demikian exco-exco PAS akan menjalankan tugas mereka seperti biasa dan memastikan semua program-program kerajaan negeri seperti Inisiatif Peduli Rakyat akan dapat dilaksanakan dengan jayanya," kata Iskandar memetik kenyataan medianya hari ini.
 
Hala tuju dan masa depan PAS bersama PKR menjadi 'teka-teki' selepas muktamar pada 30 April lalu menerima usul putus hubungan kedua-dua parti berkenaan.
 
Majlis Syura Ulama juga akan bermesyuarat dalam waktu terdekat bagi memuktamadkan gesaan perwakilan pada muktamar parti itu.
 
Usul itu diluluskan mengambil kira PKR sudah beberapa kali mengkhianati perjanjian kerjasama, malah membantu Amanah dalam dua pilihan raya kecil pada tahun lalu, selain kerjasama antara PKR, Amanah dan DAP dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
 
PAS juga kecewa dengan sikap PKR yang enggan menyokong usahanya meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah menerusi Akta 355.
 
PAS pada 2015 lalu mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, akibat serangan parti pimpinan Lim Kit Siang itu terhadap agenda Islam dan hudud yang dibawanya.
 
Ia kemudiannya membawa kepada tamatnya kerjasama Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk PAS, PKR dan DAP sejak 2008.
 
 

Tiada ulasan: