Khamis, 4 Mei 2017

Umno cabar pemimpin DAP bertanding di kawasan 50-50

 Berita Daily Staff
 
 
Jika benar pemimpin DAP menolak amalan rasis sepatutnya mereka sudah lama berpindah ke kawasan di mana pengundinya pelbagai kaum dan tidak dimonopoli oleh kaum Cina

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee mencabar pemimpin politik DAP di seluruh negeri supaya bertanding di kawasan 50-50 pengundi Melayu dan Cina bagi membuktikan mereka tidak mengamalkan politik perkauman.

Menurutnya, jika benar pemimpin DAP menolak amalan rasis sepatutnya mereka sudah lama berpindah ke kawasan di mana pengundinya pelbagai kaum dan tidak dimonopoli oleh kaum Cina.

“Mengambil Cheras sebagai contoh, saya cabar Ahli Parlimennya, Tan Kok Wai bertanding di mana-mana kawasan di Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai majoriti pengundi Cina,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya Umnobahagiancheras.blogspot.

Beliau turut menyeru rakyat supaya menolak fahaman politik rasis yang dibawa oleh DAP kerana ideologi tersebut hanya akan memudharatkan perpaduan nasional dan tidak menjanjikan keharmornian kepada negara.

Jelas beliau, DAP yang lahir daripada parti PAP (Singapura) sejak awal penubuhannya berteraskan kepada ideologi politik perkauman untuk meraih sokongan dan undi daripada bukan Melayu.

“Sehingga sekarang DAP masih tebal dengan fahaman tersebut dan akan memainkan sentimen kaum dan agama apabila setiap kali berlakunya Puilihan Raya Umum (PRU),” tegas beliau sambil menambah DAP kata mereka tidak rasis, tetapi amalan politik mereka jelas bertentangan dengan aspirasi dan semagat perpaduan antara kaum di negara ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan itu turut memberi contoh bagaimana DAP hanya memusatkan undi mereka di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar yang majoritinya adalah pengundi Cina untuk kekal berkuasa.

Parlimen Cheras katanya, adalah contoh terbaik di mana wakil rakyat DAP tidak akan ditolak oleh majoriti pengundi Cina walaupun Ahli Parlimen berkenaan tidak memberikan perkhidmatan kepada pengundi.

“Semua orang tahu Wakil Rakyat DAP di Cheras tidak pernah turun padang, tidak pernah ambil tahu masalah pengundi, tetapi dia tetap menang kerana kerana sentimen politik rasis,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, kira-kira 85 peratus pengundi di Cheras adalah kaum Cina dan majorirti pengundi ini dilihat condong kepada pembangkang walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melakukan yang terbaik untuk mereka.

“Kita tidak tahu sampai bila sentimen rasis ini akan berlarutan tetapi pada hemat saya ideologi politik tersebut tidak menjanjikan kedamaian kepada intergrasi nasional,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Syed Ali turut mendakwa bahawa DAP amat memerlukan sokongan daripada sekutu parti politik Melayu minoriti sepert PPBM, PKR dan Amanah serta PAS.

Bagaimanapun jelas beliau, PAS telah sedar mengenai taktik kotor DAP dan mengambil tindakan memutuskan sebarang bentuk kerjasama dengan DAP terutama menjelang PRU ke-14 akan datang.

Syed Ali menyifatkan parti serpihan Melayu yang sanggup bersekongkol dengan DAP sebagai petualang kepada orang Melayu dan seharusnya tidak dibenarkan bertapak di negara ini.

“Saya pun hairan, bagaimana ada parti serpihan Melayu yang tergamak menjadi keldai politik DAP, tergamak berpeluk tubuh bila DAP menghina orang Melayu,” katanya lagi.

Tiada ulasan: