Jumaat, 12 Mei 2017

Tulah Bandar Malaysia terhadap 13 projek China di Malaysia


ISMA WEB
 



MINGGU lalu heboh diperkatakan mengenai kegagalan rancangan projek menjadikan bekas Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi, sebagai bandar moden yang keseluruhan pembangunannya, membabitkan kos kira-kira RM200 bilion – bandar hebat rancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kegagalan itu, jika mengikut kenyataan TRX City Sdn Bhd (syarikat di bawah Kementerian Kewangan) adalah kerana syarikat tempatan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), milik taikun tempatan, Lim Kang Hoo dan syarikat milik negara China, China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC), gagal membuat bayaran membeli saham Bandar Malaysia.

Jika menjadi, projek Bandar Malaysia itu sememangnya hebat. Mengikut rancangan CREC, mereka akan membina – kononnyalah – bandar bawah tanah terbesar di dunia di Bandar Malaysia yang akan menjadi tunjang kepada rangkaian kereta api China Pan Asia. Juga, bakal meliputi pusat beli- belah bawah tanah, terusan, taman tema tertutup, perkampungan budaya, taman dalaman, pusat kewangan serta ibu pejabat serantau terbarunya yang bernilai RM8.3 bilion.

Pengurus Besar bagi pejabat China Railway di Malaysia, Cai Zemin berkata, Bandar Malaysia akan menjadi pertalian di rangkaian kereta api meluas serantau dalam pelan besar-besaran China untuk menghubungkan 65 negara dalam laluan sutera versi moden, selain menjadi permata berkilauan di koridor kereta api China yang menghubungkan Asia Tenggara dengan Asia Timur, Asia Barat dan Asia Selatan.

Namun, segala-galanya tidak menjadi apabila gabungan IWH dan CREC – IWH CREC Sdn Bhd (IWH CREC) – gagal membayar RM7.41 bilion bagi membeli 60 peratus saham Bandar Malaysia. Menurut laporan, arahan pembatalan itu dikeluarkan oleh Najib sendiri.

Mengimbas kembali perjalanan Najib dan rombongan ke China, November tahun lalu, berjaya menarik pelaburan RM144 bilion menerusi 14 memorandum persefahaman (MoU), sehingga Perdana Menteri bangga mengumumkan bahawa ia adalah jumlah pelaburan terbesar pernah dilakukan negara dan pencapaian bersejarah.

Perjanjian itu membabitkan:

1. Perjanjian Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pengoperasian antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd, China Communications Construction Company Limited (CCCC) dan China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCCM);

2. Memorandum Perjanjian bagi Pelaburan, Pembangunan dan Pembinaan Projek Melaka Gateway antara KAJ Development dan Power China;

3. Perjanjian Dasar Induk antara Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Greenland Holdings Group Overseas Investment Company Limited bagi cadangan pembelian tanah dan pembangunan di Bandar Malaysia;

4. Perjanjian Dasar Induk antara Selat PD Sdn Bhd dan CCCC Dredging (Group) Co Ltd;

5. Perjanjian Kerjasama Rangka Kerja antara Kerajaan Negeri Sarawak, Hebei Xinwuan Steel Group dan MCC Overseas Limited bagi cadangan Pembangunan Kilang Keluli di Sarawak;

6. Memorandum Perjanjian antara KAJ Development Sdn Bhd, Power China, Shenzhen Yantian Port dan Rizhao Port bagi Kerjasama Perkongsian pembangunan Pelabuhan Melaka Gateway;

7. Perjanjian Dasar Induk bagi Skim Kewangan Bandar Malaysia antara IWH CREC Sdn Bhd dan ICBC;

8. Memorandum Persefahaman antara ECERDC dan Wuxi Suntech Power Co. Ltd bagi Pengeluaran Sel Solar Silikon Kristal dan Modul di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China;

9. Memorandum Perjanjian antara BHS Industries Berhad dan China Nuclear Huaxing Construction Co. Ltd. bagi Taman Teknologi Hijau di Pekan, Pahang, Malaysia;

10. China Construction Bank (Malaysia) Berhad diberikan lesen perbankan oleh Menteri Kewangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. Dengan modal berbayar awal US$200 juta, China Construction Bank akan dapat menyediakan pembiayaan bagi menyokong pembangunan prasarana Malaysia;

11. Memorandum Persefahaman antara Yanming Resources Sdn Bhd dan Fuzhou Xin Zibu Culture Communication Co. Ltd bagi pertumbuhan dan pembangunan pasaran sarang burung di China;

12. Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Alibaba.com;

13. Perjanjian Kerjasama Penyelidikan dan Pembangunan antara Royal Bird’s Nest, Walet Company-International Private Limited Company dan Peking University bagi penstandardan ekstrak sarang burung boleh dimakan dan bahan perubatan bagi penemuan ubatan farmaseutikal; dan

14. Memorandum Persefahaman antara Aladdin Group Sdn Bhd dan Suzhou Lian Cheng Yihao Information Technology Co. Ltd.

Semua pelaburan itu dianggarkan bernilai hampir RM144 bilion yang bermakna syarikat China akan menghantar kira-kira 229.09 bilion Yuan ke Malaysia. Maklumat People’s Bank of China (PBoC) mengatakan pada 2016 sejumlah AS$220 bilion mengalir keluar dari China dan AS$12 bilion lagi pada Januari lalu.

Akhirnya, bagi menghalang Yuan terus mengalir keluar dan boleh menjejaskan simpanannya, Beijing melaksanakan langkah kawalan modal tahun ini. Mengikut laporan, langkah itu menjejaskan tindakan penduduknya untuk membeli hartanah di luar negara.

Di Malaysia, kesan langkah kawalan modal itu telah dirasai oleh projek Forest City di Johor Bahru. Beribu-ribu pembeli dari China yang membuat pembayaran pendahuluan memiliki hartanah kekal di Forest City, kini tidak dapat meneruskan pembayaran akibat halangan itu.

Begitu juga, Bandar Malaysia yang baru menerima kesannya, apabila laporan turut menyebut bahawa kerajaan komunis China menghalang pelaburan CREC membeli 60 peratus saham Bandar Malaysia bernilai 11.79 bilion Yuan – menghalang mata wang mereka terus mengalir keluar.

Persoalannya sekarang ialah apa yang bakal berlaku kepada projek-projek yang disenaraikan di atas yang akan membabitkan pengaliran berbilion-bilion Yuan ke Malaysia?

Ini termasuk, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur bernilai RM55 bilion atau 87.50 bilion Yuan; Projek Melaka Gateway antara KAJ Development dan Power China (RM30 bilion; 47.73 bilion Yuan); dan Projek Pelabuhan Kuantan dan kawasan industri (RM8 bilion; 12.73 bilion Yuan).

Dan, apakah Najib sekali lagi akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin China tatkala menghadiri mesyuarat inisiatif One Belt One Road (Obor) di Beijing minggu ini, bagi memujuk supaya semua projek yang ‘dijanjikan’ oleh China dalam pertemuan ‘membanggakan’ November lalu, diteruskan?

Apakah tulah Bandar Malaysia akan mengena pula projek lain? Atau segala kebanggaan itu bakal runtuh satu persatu?

Bagaimana nasib 1MDB untuk membayar hutang, setelah kebanyakan pelaburan China itu dikatakan untuk membayar hutang syarikat pelaburan negara yang menghilangkan berbilion-bilion ringgit?

Kata Pedang: Teringat kata-kata penerbit filem, Datuk Rosyam Nor ketika menjadi juri program maharaja lawak baru-baru ini… jangan gadai maruah dan kedaulatan negara.


Tiada ulasan: