Khamis, 25 Mei 2017

Titah Sultan beri mesej dahulukan kepentingan rakyat berbanding politik - Penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan untuk mengekalkan tiga exco PAS di negeri itu merupakan satu tindakan yang wajar dan bijaksana.
 
Penganalisis Politik, Dr Jeneri Amir berkata, Baginda Sultan mengambil pendekatan jauh ke hadapan dengan memberi penekanan terhadap kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik semata-mata.
 
“Baginda bertitah demikian, boleh dianggap titah begitu sebagai satu titah yang bijaksana yang mempunyai pandangan jauh dengan jelas memberi kepentingan kepada rakyat daripada kepentingan berpolitik untuk kepentingan jangka pendek.
 
“Jadi dengan satu tindakan Baginda mengekalkan tiga exco itu maka ini akan dapat menghentikan segala spekulasi dan teka-teki berkenaan sekaligus dapat meletakkan Selangor dan kepimpinannya dalam keadaan lebih yakin untuk berdepan dengan bulan-bulan yang akan datang menjelang Pilihan Raya,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Terdahulu, Sultan Sharafuddin dalam titahnya berkenan untuk ketiga-tiga exco PAS di Selangor dikekalkan.
 
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, dalam satu kenyataan yang diedarkan pagi tadi.
 
Keputusan berkenaan dibuat selepas Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Justeru selaras dengan titah tersebut, Jeneri berkata  pembangkang wajar berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
 
Malah, ujar pensyarah kana Unimas itu, sekiranya tindakan mengeluarkan tiga exco itu terus dilaksanakan, ia hanya akan menggoyahkan kerajaan negeri seterusnya mengheret Selangor kepada pergolakan yang bakal merugikan rakyat.
 
“Kalau berlaku tindakan drastik iaitu dengan keluarnya exco, ini boleh menyebabkan kerajaan di bawah pimpinan Azmin Ali berada dalam kedudukan yang goyah dan boleh menjerumuskan negeri itu dalam kancah pergolakan yang boleh merugikan rakyat.
 
“Jadi untuk sementara waktu, tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk memastikan segala perancangan negeri itu dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan dan bagi pembangkang di Selangor, dengan kenyataan yang telah diambil oleh pihak istana, maka mereka perlu mentafsirkan mesej ini kepada tindakan itu dengan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” tambahnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: