Jumaat, 5 Mei 2017

Tiada aduan Rafizi terhadap Adam disalur kepada Lembaga Disiplin PKR

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tiada tindakan disiplin dikenakan terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah berhubung enam pertuduhan yang dihadapinya berkaitan skandal rasuah dan kekayaan luar biasa.
 
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab juga mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak terhadap Adam.
 
Bahkan beliau juga memaklumkan tidak menerima sebarang aduan daripada Rafizi Ramli meskipun Naib Presiden PKR itu acap kali mengkritik dan menegur salah laku Adam secara terbuka.
 
"Rafizi membuat kenyataan media.
 
"Setakat ini saya belum dapat apa-apa. Lembaga Disiplin PKR hanya akan bertindak jika mendapat aduan rasmi daripada mana-mana pihak yang melaporkan," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Hadi dihubungi Antarapos bagi mendapatkan maklum balas mengenai tindakan disiplin yang bakal diambil PKR terhadap Adam, susulan enam pertuduhan yang dihadapinya iaitu memberi keterangan palsu ketika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kekayaan luar biasa miliknya.
 
Untuk rekod Adam didakwa di Mahkamah Seskyen Kuala Lumpur pada 21 April lalu atas enam pertuduhan kerana memberi keterangan palsu di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
 
Jika sabit kesalahan Adam boleh didenda sehingga  RM3 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
 
Banglo Adam yang bernilai RM1.2 juta disita SPRM, termasuk lima buah kereta mewahnya, selain akaun bank milik Adam dan isterinya yang bernilai RM212,000 dibekukan.
 
Rafizi merupakan pemimpin parti yang lantang menegur salah laku Adam sehingga menggesa kepimpinan PKR menjauhkan diri daripada isu berkenaan.
 
Beliau bimbang isu Adam itu akan menggugat sokongan rakyat terhadap PKR, apatah lagi dalam tempoh menghampiri Pilihan Raya Umum ke-14.
 
Dalam pada itu Adam pada semalam memaklumkan bercuti sementara daripada kesemua jawatan di dalam parti sehingga bebas daripada pertuduhan yang dihadapinya.
 
Adam mmeberitahu surat pemberitahuan itu sudah diajukan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ketua cabangnya.
 
Hadi, ketika mengulas hal itu berkata itulah langkah yang sepatutnya diambil Adam sejak mula dituduh.
 
"Sepatutnya dia buat begitu. Namun setakat ini saya sebagai pengerusi tidak dapat apa-apa laporan, bermula dari beliau dituduh.
 
"Hingga hari ini, Lembaga Disiplin tidak terima apa-apa surat. Isu jawatan itu lebih (kuasa) kepada Setiausaha Agung," kata Hadi.
 
 

Tiada ulasan: