Rabu, 17 Mei 2017

Terpulang jika PKR mahu kekal atau 'keluar' di Kelantan - Tuan Ibrahim

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
SHAH ALAM: PAS menghormati keputusan PKR yang mengarahkan semua wakilnya dalam kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS melepaskan jawatan masing-masing susulan terbatalnya tahaluf siyasi antara mereka.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan PAS Kelantan bagaimanapun berpendapat, adalah lebih baik wakil PKR kekal dalam pentadbiran negeri bagi meneruskan mandat rakyat.  
 
"PAS menghormati keputusan PKR, maka kini terpulang kepada Ahli Majlis.
 
"Kerajaan Kelantan berpendapat untuk kekalkan mereka bagi meneruskan pentadbiran kerajaan dan pentadbiran berjalan seperti biasa," katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada Antarapos.
 
Mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi memutuskan bahawa semua wakil partinya dalam kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS, melepaskan jawatan masing-masing susulan terbatalnya tahaluf siyasi antara kedua-dua parti itu.
 
Bagaimanapun kedudukan tiga Exco dan wakil PAS dalam kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR akan diputuskan sekembalinya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada lawatan rasmi di luar negara.
 
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kini terpulang kepada PKR sama ada mahu terus kekal dalam kerajaan negeri Kelantan atau sebaliknya.
 
"Terpulang kepada PKR untuk mengekalkannya atau sebaliknya.
 
"Kerana apa jua keputusan di Selangor akan mengubah senario politik di Selangor tidak sepertimana di Kelantan.  
 
"PAS Selangor akan menunggu apa jua keputusan KDYMM Sultan Selangor sama ada menggugurkan Exco atau Baginda perkenan untuk terus kekal menjalankan pentadbiran kerajaan Selangor," kata beliau lagi. 
 
Di Kelantan, PKR tidak memegang sebarang jawatan Exco namun wakil rakyat parti itu dilantik sebagai penyelaras di beberapa kerusi DUN selain menjadi ahli lembaga pengarah di syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).
 
Di Selangor, PAS mempunyai tiga wakil Exco selain ratusan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli lembaga pengarah GLC.
 
Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat esok bagi menentukan kedudukan tiga Exco mereka di Selangor. 


Tiada ulasan: