Khamis, 11 Mei 2017

Temerloh dan Raub dilanda banjir, 64 mangsa dipindahkan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUANTAN: Tidak sampai 24 jam, daerah Temerloh sekali lagi dilanda banjir diikuti dengan daerah Raub yang menyaksikan sejumlah 64 mangsa dipindahkan sehingga pukul 9 pagi tadi.
 
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) Pahang, Zainal Yusoff berkata, untuk daerah Temerloh sebanyak dua pusat pemindahan sementara dibuka sejak pukul 10 malam tadi bagi menempatkan 38 mangsa daripada 13 keluarga.
 
"Seramai 32 orang daripada 11 keluarga di tempatkan di Sekolah Kebangsaan Batu Kapor manakala enam orang daripada dua keluarga lagi di Surau Kampung Bongsu, Mentakab," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
 
Bagi daerah Raub, katanya, seramai 26 orang daripada enam keluarga telah dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara yang dibuka malam tadi.
 
Katanya, dua pusat pemindahan berkenaan melibatkan Balai Raya Kampung Pamah Rawas yang menempatkan 15 orang daripada empat keluarga dan Balai Raya Kampung Pamah Kulat menempatkan 11 orang daripada dua keluarga.
 
Zainal berkata, pihaknya kini sedang memantau rapi perkembangan banjir di kawasan Mentakab berikutan keadaan air dilaporkan semakin naik manakala keadaan banjir di Raub dilaporkan semakin surut
 
 

Tiada ulasan: