Isnin, 29 Mei 2017

Tak perlu tangkap mereka yang ponteng puasa, kata Khairy

THE MALAYSIAN INSIGHT

Tak perlu tangkap mereka yang ponteng puasa, kata Khairy
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata jabatan agama melaksanakan bidang kuasa mereka mengikut negeri masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
JABATAN agama Islam tidak perlu mengawasi dan menangkap mereka yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Twitter hari ini.

Bagaimanapun, Khairy berkata beliau sedar jabatan berkenaan melaksanakan bidang kuasa mereka mengikut negeri masing-masing dan tidak banyak yang boleh dilakukannya selain menggalakkan perkara itu dibahaskan.

“Jadi ia bukan perkara mudah ‘jangan cakap, buat saja’. Agama ialah bidang kuasa negeri. Kebanyakan majlis agama negeri di bawah Sultan.

“Maka, satu cara melakukannya ialah dengan menggalakkan masyarakat berdebat. Jika jangkaan masyarakat boleh mengubah tekanan terhadap jabatan agama,” katanya.

Khairy memberi respons kepada pengguna Twitter Mizan Hashri, yang mendesakkan supaya “jangan sekadar tweet” tetapi bertindak jika dia percaya pihak berkuasa agama tidak perlu memantau dan menahan mereka yang ponteng puasa ketika Ramadan.

Terdahulu, dia menulis di Twitter walaupun umat Islam diminta mematuhi lima rukun Islam termasuk berpuasa pada Ramadan, tidak ada peruntukan bagi pihak berkuasa untuk mengawasi mereka yang tidak berpuasa.

“Wajib anda patuhi rukun yang lima. Tidak wajib untuk orang tangkap kamu kerana tidak melakukannya,” kata Khairy, menambah sumber penguatkuasaan sepatutnya digunakan untuk membantu mereka yang miskin dan memerlukan.

Beliau berkata akan berbincang mengenai perkara itu dengan menteri bertanggungjawab terhadap Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim).

Tweet Khairy mengenai pihak berkuasa Islam tidak patut menangkap umat Islam yang ponteng berpuasa pada Ramadan mendapat retweet hampir seribu kali.

Bernama semalam melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) akan mengadakan operasi harian Ramadan untuk mencegah umat Islam di negeri ini makan, minum dan merokok di tempat awam pada siang hari.

Ketua Bahagian Operasi Penguatkuasaan Jaim Noraminuddin Aziz berkata mereka yang ditangkap akan didakwa di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka kerana menjual atau makan pada Ramadan.

“Sebagai tambahan, umat Islam yang didapati makan, minum dan merokok di tempat awam boleh didakwa di bawah Seksyen 49 enakmen sama dengan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan merokok pada siang hari, mereka boleh didenda hingga RM00 atau penjara tiga bulan,” katanya selepas memeriksa 15 kedai makan di negeri itu yang dikatakan menjadi “tempat” mereka yang ponteng puasa.

Tiada ulasan: