Jumaat, 12 Mei 2017

Tabung Perumahan Bumiputera Johor bercanggah maklumat, perlu diaudit


Roketkini.com

JOHOR BAHRU: Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Johor digesa mengaudit Tabung Perumahan Bumiputera negeri ekoran percanggahan maklumat berhubung jumlah unit hartanah Bumiputera yang telah ditukar status sejak 2013.

Adun Pekan Nenas, Yeo Tung Siong membuat gesaan itu susulan jawapan bertulis yang diterimanya di dewan negeri semalam berbeza dengan kenyataan kerajaan negeri pada 4 Mac lepas bahawa RM600 juta diperolehi hasil pertukaran status melibatkan 3,000 unit hartanah.

Katanya, melalui jawapan bertulis Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday itu, lebih RM462 juta diperolehi hasil daripada pertukaran status berkenaan yang melibatkan 20,510 unit hartanah dari 2013 hingga April 2017.

“Dalam jawapan bertulis pada April 2016, sebanyak 4,503 unit hartanah diberikan pelepasan status sejak tahun 2013. Manakala jawapan terbaru melibatkan 20,510 unit hartanah. 3,000 (Mac), 4,503 (April) dan 20,510 (Mei) unit adalah suatu perbezaan bilangan yang amat besar.

“Kenapa bilangan pelepasan status unit hartanah itu boleh kadang kala menjadi semakin kurang dan tiba-tiba melonjak tinggi daripada 3,000 kepada 20,510 unit dalam masa singkat?” katanya dalam kemaskini status di laman sosial Facebook.

Isu pertukaran status unit hartanah Bumiputera hangat diperkatakan susulan penahanan bekas Exco kerajaan negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lepas.

Abd Latif yang sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri didakwa bersubahat dalam kes penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera mengakibatkan mereka yang layak tidak mampu membeli rumah.

Sejurus penahannya, SPRM merampas kira-kira 150 beg tangan berjenama milik isterinya, sebuah kenderaan Toyota Vellfire dan wang tunai berjumlah RM41,000.

Tung Siong yang juga Penolong Setiausaha Organisasi DAP Johor turut mempersoalkan hanya RM120 juta digunakan kerajaan negeri bagi membina rumah mampu milik sedangkan Tabung Perumahan Bumiputera menerima RM462 juta hasil pertukaran status berkenaan.

“Sebanyak RM342 juta tidak digunakan untuk menyelesaikan masalah perumahan. Kenapa duit tersebut tidak digunakan secara optimum bagi menyelesaikan masalah perumahan yang semakin meruncing,” ujarnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: