Isnin, 29 Mei 2017

Syed Saddiq, tolong jangan ego terima pendapat - Khairuddin

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan agar tidak bersikap angkuh dan ego untuk menerima nasihat yang diberikan demi kepentingan parti itu.
 
Penyelaras Gerakan Deklarasi Rakyat yang juga bekas ahli PPBM, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, kenyataan beliau terhadap Syed Saddiq semalam adalah sekadar nasihat agar pemimpin muda itu menggunakan saluran dalaman untuk menyuarakan kritikan terhadap parti.
 
“Saya kata kalau ada apa-apa masalah, dia sebagai Ketua Armada, kenapa dia tak bercakap melalui saluran dalaman, dia ada saluran dalaman, dia duduk dalam Majlis Tertinggi parti Bersatu (PPBM), bercakaplah melalui saluran dalaman.
 
“Dia ada saluran yang terbaik, guna pakailah saluran terbaik dan ikut saluran dalaman, apa-apa pun bermusyarah secara dalaman, janganlah buka pekung di dada kerana akhirnya ia akan mengaibkan parti Bersatu (PPBM) dan akan melemahkan parti bersatu dan PH
 
“Ini dia pergi hentam Naib Presiden secara terbuka, jadi macam mana rakyat nak yakin dengan kita kalau nampak kita bertelagah sesama sendiri, jadi macam mana rakyat nak yakin dengan kita," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Pertikaman lidah dua pemimpin itu bermula selepas Khairuddin mengkritik sikap biadap Syed Saddiq yang menggesa Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman untuk meletakkan jawatan, ekoran mendakwa bekas Ketua Wanita Umno Gopeng itu menjadi punca 1000 ahli serta pemimpin PPBM di Perak keluar parti pada minggu lepas.
 
Malah, Khairuddin turut menggelarkan pendebat terbaik Asia itu sebagai ‘budak hingusan’ yang masih cetek ilmu politik berbanding Hamidah.
 
Kritikan Khairuddin itu kemudian dibalas Syed Saddiq dengan mengajak mana-mana pihak yang menggelarkannya 'budak hingusan' untuk berdebat.
 
Khairuddin dalam reaksinya hari ini menolak ajakan tersebut kerana menganggap pemimpin Armada itu tidak ‘setaraf’ dengan dirinya.
 
“Syed Saddiq ni, dia ni ‘budak hingusan’, bukan 'level' saya.
 
“Dia budak yang tidak ada ilmu politik, ilmu politik dia kosong, dia ingat dia pemidato dunia terbaik, jadi dia tahu segala-galanya, dia beri yang terbaik dalam politik tetapi tidak. Kalau dia jadi pendebat yang terbaik, itu satu perkara yang amat berbeza dalam perjuangan politik, politik ni lain.
 
“Saya cuma nasihatkan dia jangan terlalu angkuh dan ego, kalau nak buat apa dalam politik, ikutlah saluran parti dan saluran dalaman parti," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: