Jumaat, 12 Mei 2017

Sultan Selangor maklum keadaan semasa kerajaan negeri - Azmin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
RAWANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah dimaklumkan situasi politik semasa yang membabitkan perjalanan kerajaan negeri, demikian menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Azmin juga menjelaskan pertemuannya bersama ketiga-tiga exco PAS pada pagi tadi adalah untuk mendapatkan penjelasan mengenai kelancaran urusan kerajaan negeri meskipun tahaluf siyasi di antara PAS dan PKR terbatal secara rasmi, semalam. 
 
"Saya berjumpa tiga exco PAS pada pagi ini untuk mendapatkan penjelasan mereka. Mereka perlu jelaskan bagaimana mereka boleh berperanan (sebagai exco) secara efektif di kala kita tidak lagi mempunyai tahaluf siyasi.
 
"Mereka telah berikan penjelasan kepada saya dan saya akan lihat kesemuanya nanti dan akan berbincang dengan Presiden PKR setelah kembalinya beliau dari New York.
 
"Berdasarkan penjelasan tiga exco itu, pembatalan tahaluf siyasi itu merujuk kepada kerjasama untuk PRU14. Bagaimanapun mandat telah diberikan oleh rakyat pada PRU13 yang lalu jadi kita kena teruskan hingga pilihan raya akan datang," katanya kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Masjid Perodua di sini, petang tadi.
 
Azmin ketika diminta mengulas lanjut mengenai kekecewaannya terhadap keputusan Majlis Syura Ulama PAS semalam berkata, 'kesabaran mempunyai batas'. 
 
"Seperti yang saya katakan saya sudah lakukan sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini menerusi pertemuan, konsultasi, perbincangan tetapi saya pernah katakan, kesabaran ada batasnya," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: